Pasca pandemik Covid-19, jumlah keseluruhan nilai 100 jenama paling bernilai di Malaysia telah menurun sebanyak 12 peratus kepada USD$49.3 billion. Seperti dijangka, Petronas masih lagi mengekalkan kedudukannya sebagai jenama Malaysia paling bernilai untuk tahun ke 11 tahun berturut-turut.

Menurut laporan Brand Finance, jenama Petronas memiliki nilai sebanyak RM49.7 bilion (USD$12.0 bilion). Ia meletakkannya sebagai satu-satunya jenama yang bernilai melebihi USD$10 bilion di Malaysia. Maybank merangkul tempat kedua dengan nilai USD$3.7 bilion sementara Genting pada USD$3.1 bilion. Biarpun Petronas melihat penurunan nilai jenamanya sebanyak 20.8 peratus pada tahun ini, ia masih menunjukkan dominasi industri minyak dan gas di negara ini.

Petronas juga masih mengekalkan kedudukannya di tempat kesembilan dalam kalangan jenama perundingan penilaian minyak dan gas global. Semasa membuat penilaian tersebut, Brand Finance mempertimbangkan tiga komponen utama dalam pengiraan nilai jenama iaitu kekuatan jenama, perniagaan dan ekonomi.

Berikut merupakan 10 jenama paling bernilai di Malaysia mengikut laporan Brand Finance.

1. Petronas

Kredit gambar: https://www.theedgemarkets.com/article/petronas-says-successfully-pared-misc-klccp-stapled-shareholdings

Ditubuhkan sejak 47 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1974 dan dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia, Petroliam Nasional Berhad lebih dikenali sebagai Petronas. Pada tahun lalu, ia mencatatkan kerugian bersih RM21 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 berbanding untung bersih RM40.5 bilion pada tahun 2019.

Ia juga mencatatkan pendapatan yang rendah berjumlah RM178.7 bilion berbanding RM240.3 bilion tahun sebelumnya dengan sebahagian besarnya berikutan kesan penurunan mendadak harga minyak mentah, yang mana memperlihatkan harga realisasi yang lebih rendah untuk semua produk.

Keuntungan yang menurun secara mendadak tersebut tidak menjejaskan nilai jenama Petronas. Brand Finance meletakkan ranking Petronas bersandarkan kepada prestasi jenamanya yang konsisten, dengan nilai jenama USD$12.04 bilion, walaupun susut berbanding USD$15.2 bilion pada 2020.

Indeks Kekuatan Jenama bagi Petronas, yang mengukur prestasi sesebuah jenama berbanding pesaing, meningkat kepada 87 mata daripada 86.3 mata pada 2020. Biarpun begitu, di dalam indeks tersebut Petronas turun ke tangga kedua dibelakang Digi.

2. Maybank

Kredit gambar: https://www.theedgemarkets.com/article/maybank-ib-issues-15-new-call-warrants-and-one-new-put-warrant

Bank yang tidak asing lagi dalam kalangan pengguna di Malaysia, Malayan Banking Berhad lebih dikenali sebagai Maybank. Maybank merupakan bank terbesar di Malaysia sekiranya diukur dari sudut aset dan nilai pasaran.

Pada tahun 2020, Maybank mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah pada tahun kewangan 2020 pada RM6.48 bilion, menurun 20.94 peratus berbanding RM8.20 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya. Penurunan itu disebabkan kerugian penurunan nilai yang lebih tinggi akibat impak pandemik Covid-19. Untung bersih kumpulan tersebut turut menurun pada suku keempat 2020 pada RM1.54 bilion, 37.23 peratus lebih rendah berbanding RM2.45 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Sama seperti Petronas, penurunan keuntungan tersebut tidak menggugat kedudukannya sebagai jenama kedua paling bernilai di Malaysia oleh Brand Finance dengan nilai USD$3.661 bilion.

3. Genting

Kredit gambar: https://www.bigkl.com/hotels/genting-grand-hotel/

Kumpulan Genting ditubuhkan di Malaysia pada tahun 1965 oleh Mendiang Tan Sri Lim Goh Tong. Kumpulan Genting mempunyai perniagaan yang pelbagai dari industri perhotelan, perladangan, tenaga, taman tema dan juga perjudian di Amerika Syarikat, Australia, Malaysia, Filipina, Singapura dan juga di United Kingdom.

Sepanjang tahun lalu, Genting Bhd mencatatkan kerugian bersih kira-kira RM1 bilion bagi tahun kewangan 2020. Pendapatan diraihnya sepanjang tahun lalu merosot separuh kepada RM11.56 bilion berbanding RM21.6 bilion yang dicatatkan setahun sebelumnya.

Sama seperti Petronas dan Maybank, penurunan keuntungan tersebut tidak menggugat kedudukannya sebagai jenama ketiga paling bernilai di Malaysia oleh Brand Finance pada nilai USD$3.130 bilion.

4. Tenaga Nasional Berhad (TNB)

Kredit gambar: https://www.theedgemarkets.com/article/tenaga-nasional-cut-neutral-rhb

Ditubuhkan sebagai Lembaga Letrik Pusat (Central Electricity Board, CEB) pada 1 September 1949, ia kemudiannya dijenamakan sebagai Lembaga Letrik Negara (LLN) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada tahun 1990. Dimiliki oleh kerajaan melalui Khazanah Nasional, TNB membekalkan tenaga elektrik ke seluruh negara kecuali Sarawak. Ia juga beroperasi di beberapa buah negara lain iaitu Mauritius, Pakistan, India dan Indonesia.

Pada tahun 2020, Tenaga Nasional Bhd (TNB) merekodkan keuntungan selepas cukai RM3.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 berbanding RM4.45 bilion pada tahun sebelumnya. Menurut Brand Finance, TNB merupakan jenama keempat paling bernilai di Malaysia pada tahun 2021 pada nilai USD$2.623 bilion.

5. Sime Darby

Kredit gambar: https://www.theedgemarkets.com/article/sime-darby-lookout-another-ma-opportunity-china

Ditubuhkan pada tahun 2007, Sime Darby Berhad merupakan syarikat konglomerat multinasional yang bertapak kukuh di Malaysia dalam industri perladangan, hartanah, industri, automotif, tenaga dan prasarana serta hospitaliti. Sime Darby merupakan gabungan tiga buah syarikat multinasional iaitu Guthrie Berhad, Golden Hope dan Sime Darby sendiri.

Kumpulan tersebut beroperasi di 18 buah negara dengan kekuatan 20,920 orang pekerja. Pada tahun 2020, Sime Darby mencatatkan keuntungan sebanyak RM36.934 bilion, meningkat berbanding tahun 2019 iaitu sebanyak RM36.156 bilion.

Menurut Brand Finance, Sime Darby Berhad merupakan jenama kelima paling bernilai di Malaysia pada tahun 2021 pada nilai USD$2.103 bilion.

6. Public Bank

Kredit gambar: https://www.linkedin.com/company/public-bank

Bank ini telah ditubuhkan pada tahun 1966 oleh Tan Sri Teh Hong Piow, seorang bekas Pengurus Besar di Maybank. Public Bank disenaraikan di Bursa Saham pada tahun berikutnya dan kini merupakan bank kedua terbesar di Malaysia selepas Maybank.

Pada tahun lalu, Public Bank mencatatkan keuntungan bersih RM4.87 bilion bagi tahun kewangan 2020, 11.6 peratus lebih rendah berbanding 2019. Brand Finance meletakkan Public Bank sebagai jenama keenam paling bernilai di Malaysia pada tahun 2021 pada nilai USD$1.753 bilion.

7. CIMB Bank

Kredit gambar: https://www.glassdoor.com/Photos/CIMB-Group-Office-Photos-IMG4054596.htm

Kumpulan CIMB Bank beroperasi di Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Cambodia dan Filipina. CIMB merupakan gabungan daripada beberapa buah bank yang akhirnya disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur pada tahun 2003. Pada hari ini, ia merupakan kumpulan perbankan kelima terbesar di ASEAN.

Kumpulan CIMB mencatat keuntungan bersih RM1.19 billion bagi tahun kewangan berakhir 2020, menyusut 73.9 peratus berbanding RM4.56 bilion pada tahun sebelumnya. Brand Finance meletakkan CIMB sebagai jenama ketujuh paling bernilai di Malaysia pada tahun 2021 pada nilai USD$1.734 bilion.

8. Maxis

Kredit gambar: https://www.businesstoday.com.my/2021/02/26/maxis-2020-financial-results-reflects-challenges-facing-the-industry/

Brand Finance meletakkan Maxis sebagai jenama kelapan paling bernilai di Malaysia pada tahun 2021 pada nilai USD$1.552 bilion. Ditubuhkan pada tahun 1995 oleh Tan Sri Ananda Krishnan, Maxis merupakan salah satu syarikat telekomunikasi milik bilionair tersebut.

Pada tahun 2008, Maxis merupakan syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia yang memiliki 10 juta pelanggan prabayar dan pasca bayar. Keuntungan bersih dicatatkan sebanyak RM1.382 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, menyusut 8.6 peratus daripada RM1.512 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

9. Air Asia

Kredit gambar: https://newsroom.airasia.com/stories/my-office-is-definitely-cooler-than-your-office

Pada Disember 2001, Tan Sri Tony Fernandes, bersama-sama dengan Datuk Kamarudin Meranun, Dato’ Pahamin Ab Rajab dan Dato’ Abdul Aziz bin Abu Bakar mengambil alih sebuah syarikat penerbangan yang sedang rugi dan mengubahnya menjadi syarikat penerbangan tambang murah terulung di dunia.

Pada hari ini, Air Asia merupakan syarikat penerbangan terbesar di Malaysia. Kumpulan AirAsia beroperasi di 25 buah negara dengan 165 buah destinasi menjadi tumpuan penerbangan ini. Sebagai industri yang berkaitan dengan pelancongan dometik dan antarabangsa, ia terjejas teruk selepas pandemik Covid-19.

Pada tahun 2020, Air Asia mencatatkan kerugian sebanyak RM5.888 bilion berbanding 2019 sebanyak RM283 juta. Biarpun dengan kerugian tersebut, Brand Finance meletakkan AirAsia sebagai jenama kesembilan paling bernilai di Malaysia pada tahun 2021 pada nilai USD$1.222 bilion.

10. Digi

Kredit gambar: https://www.malaysianwireless.com/2020/03/digi-employees-wear-mask-covid-19/

Pada tahun 2018, Digi dilaporkan memiliki 11.659 juta pengguna di Malaysia. Digi Telecommunications merupakan syarikat telekomunikasi yang dimiliki oleh Telenor ASA dan selepas ini bakal bergabung dengan Celcom sebagai Celcom Digi Bhd.

Sepanjang operasinya pada tahun 2020, Digi mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.22 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, turun 14.8 peratus berbanding RM1.43 bilion yang direkodkan pada tahun 2019. Brand Malaysia meletakkan Digi sebagai jenama kesepuluh paling bernilai di Malaysia pada tahun 2021 pada nilai USD$1.012 bilion.

Bagaimanapun, bagi Indeks Kekuatan Jenama Brand Finance, Digi berada di kedudukan pertama dengan menewaskan Petronas dan Maybank di kedudukan kedua dan ketiga.