Pembuat undang-undang di negeri Washington telah mengundi untuk menghentikan penjualan kenderaan berkuasa petrol dan diesel. Melepasi undian di Dewan Senat negeri itu dengan majoriti tipis sebanyak 25-23 dan pengundian di Dewan Perwakilan dengan majoriti 54-43 undian, Washington mencatat sejarah sebagai negeri terawal yang bakal menguatkuasakan undang-undang tersebut.

Sebelum ini, negeri California dan Massachusetts juga merancang untuk menghentikan penjualan kenderaan bahan bakar yang sama, namun tiada sebarang pengundian perwakilan dibuat. Rancangan tersebut dijangka bermula pada tahun 2035, iaitu lima tahun selepas Washington dan ditandatangai oleh gabenor melalui perintah eksekutif.

Kajian telahpun membuktikan bahawa 50 peratus jumlah pelepasan gas ke udara datang dari penggunaan kenderaan dengan bahan api gasolin. Kajian juga menunjukkan apabila enjin berada di dalam keadaan idle, iaitu satu keadaan di mana enjin dihidupkan tetapi kenderaan tidak bergerak ia akan melepaskan gas dua kali ganda lebih banyak. Keadaan ini diburukkan lagi dengan kesesakan lalu lintas di bandar metropolitan seperti Washington yang sangat serius.

Undang-undang yang diluluskan tersebut bakal melarang penjualan, pembelian dan pendaftaran kenderaan dengan bahan api gasolin di negeri tersebut. Ini termasuklah larangan membawa masuk kenderaan yang dibeli dari negeri lain. Sejumlah cukai juga akan dikenakan bagi membantu Washington menyediakan infrastruktur yang mencukupi kepada pengguna kereta elektrik di negeri tersebut.

Sumber: