Seorang wanita yang kesedihan selepas teman lelakinya memutuskan hubungan, bertindak hantar 1 tan (1,000 kg) bawang merah untuk membuatkan lelaki itu banyak menangis sepertinya.

Wanita tersebut yang hanya dikenali dengan nama Zhao, dilaporkan menjalinkan hubungan percintaan dengan bekas teman lelakinya selama setahun sebelum putus hubungan.

Media China turut mengeluarkan gambar bekas teman lelaki Zhao yang hanya mampu menggaru kepalanya yang tak gatal sambil melihat lambakan bawang merah yang dihantar ke rumahnya.

Difahamkan Zhao berbuat demikian selepas diberitahu bekas teman lelakinya langsung tidak menangis selepas putus hubungan, sedangkan beliau menangis selama tiga hari berturut-turut.

Untuk membalas dendam, Zhao bertindak memesan satu tan bawang merah sebelum hantar ke rumah bekas teman lelakinya. Pesanan itu turut disertakan dengan sekeping nota yang bertulis mesej: “Saya dah menangis selama 3 hari. Sekarang giliran awak.”

Media China turut mengeluarkan video lori penghantaran yang dipenuhi oleh bawang merah di depan perkarangan rumah bekas teman lelaki Zhao di Shandong, China pada Sabtu lepas.

Dalam pesanan tersebut, Zhao turut menulis arahan kepada staf penghantar yang berbunyi: “Campak sahaja semua bawang di pintu depan rumah penerima.”

Selepas gagal menghubungi bekas teman lelaki Zhao, staf penghantar itu kemudiannya menghabiskan masa selama empat jam untuk memindahkan semua bawang merah dari lori ke pintu depan rumah penerima.

Ketika dihubungi oleh media tempatan, Zhao memberitahu tindakan tersebut merupakan tindakan membalas dendam supaya ‘dia banyak menangis macam saya.’

“Saya dengar dari kawan saya yang dia langsung tak menangis lepas putus [hubungan] dengan saya. Saya menangis 3 hari di rumah. Hati saya remuk.

“Jadi saya pesan satu tan bawang merah untuk dihantar ke rumahnya. Duit, memang saya tak ada masalah. Saya nak dia rasa apa rasanya bila menangis.

Bekas teman lelaki Zhao pula memberitahu dia memutuskan hubungan kerana perangainya yang ‘suka berdrama’.

“Bekas teman wanita saya suka berdrama. Dia cerita kepada semua orang yang saya langsung tak menangis lepas putus. Teruk sangatkah kesalahan saya tak menangis?”

Jiran bekas teman lelaki Zhao pula memberitahu media:

“Saya tak tahu jika bekas teman lelakinya menangis atau tak. Tapi saya memang menangis. Satu bangunan kami dah berbau bawang!”

Pelan balas dendam Zhao berlaku ketika masyarakat China menyambut ‘Hari 520’ pada 20 Mei. Tarikh ini merupakan Hari Valentine di China (berbeza dengan 14 Februari di seluruh dunia) kerana tarikh 20 Mei berbunyi seperti ‘aku cintakan mu’ dalam bahasa Mandarin.

Sumber: