Seawal Julai 2020, CEO Twitter Jack Dorsey pernah menguar-uarkan idea Twitter yang boleh dilanggan secara bulanan kepada sebilangan pengguna mereka. Berita tersebut yang dilaporkan oleh CNN Business yang memaklumkan bagaimana keuntungan Twitter merosot 23 peratus pada suku kedua tahun lalu.
Berita tersebut tersebar pada awalnya selepas Twitter dilaporkan mencari pekerja baharu bagi membangunkan platform langgangan dengan kod nama Gryphon. Selepas diakui sendiri oleh Jack, saham Twitter meningkat sebanyak 4 peratus sebagai reaksi pasaran terhadap idea tersebut.
Seperti aplikasi media sosial yang lain, Twitter mendapat keuntungan daripada pengiklanan yang menyasarkan jutaan pengguna mereka. Maka, kemerosotan pendapatan membuatkan syarikat media sosial itu berusaha mencari alternatif kepada keuntungan mereka.
Pada hari ini, Jane Manchun Wong melaporkan bahawa idea tersebut bakal menjadi realiti dengan kehadiran Twitter Blue. Dengan bayaran langganan bermula dari RM12.34 (USD$2.99) sebulan, pengguna Twitter Blue bakal menerima pelbagai fungsi berbeza seperti butang untuk Undo Tweet dan sistem penyusunan bookmark yang lebih teratur. Penganalisa pasaran media sosial itu juga memaklumkan bahawa Twitter Blue bakal hadir dengan beberapa lapis bayaran langganan.
Setakat ini, Twitter tidak memberikan sebarang komen mengenai pendedahan ini.