Lori atau trak merupakan kenderaan berat komersial yang digunakan untuk mengangkut barangan dengan kuantiti yang besar. Terdapat pelbagai jenis lori yang ada di jalan raya seperi lori ringan, sederhana dan berat mengikut kapasiti barangan yang dibawa.

Hari ini, majoriti lori-lori yang terdapat di jalan raya menggunakan enjin diesel. Enjin diesel menjadi pilihan utama para pengeluar lori kerana mampu menghasilkan daya pecutan yang lebih baik serta menjimatkan bahan api.

Pemandu lori diwajibkan memiliki lesen memandu kelas E serta GDL iaitu Lesen Vokasional sekiranya hendak memandu lori treler. Selain daripada itu, syarikat perdagangan juga memerlukan permit tersendiri. Ini bagi membolehkan kenderaan syarikat tersebut membawa barangan milik sendiri ataupun disewakan untuk membawa barangan syarikat lain.

Ini maksud permit-permit jenis A, C dan KA yang terdapat pada badan sesebuah lori.

Permit lori jenis A dan KA

Kredit gambar: MyTruck

Secara ringkasnya, permit lori jenis A merupakan permit kenderaan yang membawa barangan untuk disewa atau upah bagi tujuan perdagangan atau perniagaan.

Permit ini terbuka kepada individu, syarikat perkongsian, syarikat Sdn. Bhd, syarikat Bhd. dan juga koperasi. Pembawa permit A boleh beroperasi di seluruh Semenanjung Malaysia.

Terdapat tambahan permit iaitu jenis KA. Permit ini dikhususkan kepada kontena sahaja. Permit jenis KA juga tidak boleh dimohon secara individu ataupun syarikat perseorangan.

Semasa memohon permit jenis ini juga, syarikat perlu menunjukkan keperluan terhadap perkhidmatan tersebut. Sebagai contoh, syarikat yang mempunyai kontrak pengangkutan dibenarkan untuk membuat permohonan permit.

Permit lori jenis C

Kredit gambar: Pinterest

Berbeza dengan permit lori A, permit C merupakan permit kenderaan yang membawa barangan individu itu sendiri untuk tujuan perdagangan atau perniagaan.

Permit jenis ini adalah terbuka kepada individu, syarikat perkongsian, syarikat Sdn. Bhd, syarikat Bhd. dan juga koperasi. Namun begitu, permit C hanya boleh beroperasi di tujuh buah negeri berdekatan dengan negeri pemohon sahaja.

Perbezaan ini merupakan perbezaan yang paling ketara bagi permit C dengan permit A. Terdapat pengecualian bagi beberapa sektor untuk had operasi ini iaitu:

  • kenderaan termasuk kereta, motor dan basikal;
  • bahan kimia dan bahan mudah terbakar;
  • petroleum gas dan oksigen;
  • bahan-bahan binaan; dan
  • perubatan, perabut dan mesin.

Ini kerana, sektor-sektor ini hanya terdapat di beberapa buah negeri sahaja, namun keperluannya terangkum ke seluruh negara.

Sumber: