Setakat 40 minit yang lalu, kapal pengangkut kontena MV Ever Given yang sedang menghalang laluan di Terusan Suez, masih tidak dapat dialihkan. Menurut sumber Suez Canal Authority (SCA), penguasa tempatan bagi terusan itu, masalah air surut sepanjang malam tadi (waktu Mesir) menyebabkan kerja-kerja pengalihan tergendala.

Semasa dibuka 150 tahun yang lalu, Terusan Suez hanya sepanjang 164km dengan kedalaman 8 meter. Namun setelah beberapa projek penambahbaikan, terusan tersebut kini sepanjang 193km dengan kedalaman 24 meter. Terusan Suez merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi Mesir.

Ini empat perkara yang perlu anda tahu tentang kesesakan teruk di Terusan Suez:

1- Berapakah jumlah kapal yang melalui Terusan Suez?

Kredit gambar: https://www.aljazeera.com/news/2021/3/24/what-is-the-significance-of-the-suez-canal

Sebagai salah sebuah laluan maritim yang tersibuk di dunia, Terusan Suez mengendalikan 50 buah kapal sehari. Pada tahun 2020, hampir 19,000 buah kapal menggunakan terusan ini untuk menghantar kargo dan kontena ke seluruh dunia.

Sebanyak 1.17 bilion ton barangan dihantar melalui laluan ini, mewakili 10 peratus daripada industri perdangan maritim di dunia.

2- Laluan terpantas bagi kapal pengangkut minyak

Setelah dibuka, Terusan Suez menjadi laluan utama bagi pengangkutan minyak dunia. Laluan ini merupakan laluan terpantas bagi merentasi Lautan Atlantik dan Lautan Hindi.

Sebelum ini, kapal pengangkut petroleum dari Teluk Parsi sebagai contoh perlu merentasi benua Afrika untuk sampai ke pelabuan eropah. Perjalanan melalui Suez menjimatkan separuh daripada masa pelayaran sebenar.

Majoriti kapal kargo yang datang dari Teluk Parsi ke Eropah membawa muatan petroleum.

3- Apakah pilihan lain bagi kapal-kapal yang tidak dapat melalui Terusan Suez?

Kredit gambar: https://www.seanews.com.tr/suez-fails-to-win-back-usec-far-east-backhauls-from-old-cape-route/160992/

Sebenarnya, pilihan lain yang ada adalah dengan berpatah balik untuk melalui Benua Afrika. Perjalanan melalui laluan asal maritim ini akan mengambil tambahan masa 15 hari, menurut firma penyelidikan petroleum Vortexa.

Sudah tentu ini akan menambahkan kos pengangkutan kepada bahan api tersebut.

4- Apakah impak kesesakan ini terhadap harga petroleum global?

Kredit gambar: https://www.aljazeera.com/economy/2020/7/27/oil-flows-through-egypts-sumed-pipeline-slow-dramatically

Setakat ini, harga minyak dunia meningkat 2 peratus kesan daripada kesesakan ini. Brent Crude meningkat kepada RM257.46 setong berbanding RM250.86 pada hari sebelumnya.

Sekiranya isu ini tidak dapat diselesaikan dengan segera oleh Suez Canal Auhority, berkemungkinan harga minyak dunia akan melonjak naik, biarpun sebelum ini harga minyak dunia jatuh akibat kemungkinan sekatan pergerakan baru di Eropah dek Covid-19.

 

 

Sumber: