Nampak gayanya di Malaysia, jika anda nak tindakan pantas diambil oleh pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu masyarakat, isu anda kena menjadi viral (tular). Kalau tak tular, aduan anda hanya akan ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri’.
Dah banyak dah isu jadi macam ini.
Terbaru adalah insiden aduan lambakan premis perjudian dan gerai milik warga asing yang didedahkan oleh Asri Janggut di Sungai Buloh.
Isu ini menjadi tular dalam masa hanya beberapa jam sehingga menjadi isu tergempar negara. Secara tiba-tiba rakyat, polis, PBT, SPRM dan menteri bercakap tentang isu ini. Dan yang paling menakjubkan, secara serta-merta juga premis perjudian dan gerai warga asing ‘lesap’.
Seolah-olah isu dah selesai.
Susulan insiden ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata beliau mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada penjual burger Mohd Asri Hamid, 42, kerana mendedahkan aktiviti perjudian di Sungai Buloh.
Bagaimanapun beliau juga berkata, ““Pemberi maklumat ini memang digalakkan dalam memberi maklumat jenayah tetapi biarlah mengikut perundangan yang ditetapkan dan tidak bertindak secara melulu.”
“Ini kerana tindakan menyebarkan maklumat di media sosial boleh mendatangkan ancaman kepada pemberi maklumat.”
Sesiapa yang menonton video siaran langsung Asri Janggut daripada mula sampai habis pasti tahu, dengan menyalurkan maklumat jenayah melalui saluran betul pun pengadu boleh diancam.
“Saya pernah buat aduan kepada polis tentang kegiatan mesin judi yang berleluasa di sini. Tapi entah macam mana, pemilik premis judi boleh tahu identiti saya yang membuat laporan,” kata Asri dalam video tersebut.
“Jika ditakdirkan saya mati dibunuh disebabkan pendedahan ini, saya berserah sahaja nasib saya kepada Allah.”
Kalau nyawa pembuat aduan yang melalui saluran betul juga boleh diancam, apa bezanya nyawa mereka diancam kalau mereka membuat aduan melalui media sosial?
Asri Janggut mewakili rakyat yang dah ‘letih’
Asri sebenarnya mewakili rakyat Malaysia yang sudah ‘letih’ dengan kelambatan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap isu rakyat. Adakah rakyat perlu menularkan semua isu di media sosial untuk melihat pihak berkuasa mengambil tindakan?
Kalau dilihat di ruang komen berita Asri di media sosial, ramai rakyat Malaysia berkata aduan yang mereka utarakan kepada pihak berkuasa sebelum ini tidak diambil tindakan.
Ini menyebabkan mereka tertanya-tanya: perlukah mereka membuat video seperti Asri untuk memastikan aduan mereka diambil serius?
Jika aduan rakyat diambil serius, adakah rakyat akan sesuka hati mengkritik pihak berkuasa?
Jika aduan rakyat disusuli dengan tindakan pantas, adakah rakyat akan sesuka hati membawa aduan ke media sosial?
Jika identiti rakyat dilindungi ketika membuat aduan, adakah rakyat akan menyamakan Malaysia dengan naratif filem Tamil di mana orang baik ditindas, orang jahat dibiarkan berkuasa?
Yang sedihnya, ini bukan kali pertama rakyat melihat pihak berkuasa hanya bertindak selepas isu viral.
Sebelum ini kita dapat lihat bagaimana hanya selepas video Veveonah Mosibin menjadi tular, barulah TM menyediakan kemudahan Internet di kawasan pedalaman.
Jika video Veveonah tidak menjadi tular, rakyat berani jamin isu capaian Internet di kampungnya tak akan selesai sampai bila-bila.
Sepatutnya kerajaan pusat perlu mengambil pengajaran daripada isu-isu tular ini.
Pihak berkuasa sepatutnya menyalahkan diri sendiri jika rakyat terpaksa menularkan aduan mereka di media sosial. Ini kerana ia bermakna rakyat sudah tiada pilihan lain. Bukannya menyalahkan rakyat kerana membuat aduan di saluran yang tak betul.
Orang putih kata, don’t shoot the messenger.
Orang yang diamanahkan memegang kuasa untuk membela rakyat seperti polis, PBT dan menteri sepatutnya rasa malu apabila rakyat terpaksa beralih untuk menularkan aduan mereka di media sosial. Kerana ini bermakna rakyat berpendapat mereka lambat buat kerja.
Perlu diingat – dalam negara demokrasi, pemegang kuasa yang bekerja untuk rakyat. Duit cukai rakyatlah yang membayar gaji mereka.
Nota editor: Artikel ini ditulis oleh Tajudin Khairoll. Ia adalah pendapat peribadi penulis, dan tidak mewakili pendapat Rencah.