Sejak penghujung Oktober yang lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mula memberikan vaksin Comirnaty daripada Pfizer-BioNTech sebagai dos penggalak bagi individu yang sudah mendapat dos lengkap vaksin Sinovac. Ia diberikan kepada mereka yang lengkap menerima vaksin Sinovac sekurang-kurangnya tiga bulan yang lalu.
Bagi vaksin Sinovac, mereka menerima dos penggalak dari vaksin jenis Cominarty. Ini merupakan penggunaan kaedah heterologous iaitu pemberian dos penggalak bagi jenis vaksin berlainan.
Dos penggalak ini mula diberikan kepada individu berusia 60 tahun ke atas. Pemberian ini berdasarkan saranan Strategic Advisory Group of Expert (SAGE) on Immunization dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Namun begitu, timbul masalah apabila hampir 40 peratus tidak hadir ke temu janji suntikan dos penggalak. Ini jauh berbeza dengan ketidakhadiran ke temu janji suntikan pertama dan kedua iaitu pada kadar 5 peratus sahaja.
Bagi menyelesaikan masalah tersebut, KKM bersetuju untuk membenarkan sistem walk in bagi pemberian dos penggalak. Mulai hari ini, penerima yang layak boleh mendaftarkan diri mereka di laman web Protect Health. Berikut diterangkan kumpulan sasar yang menjadi keutamaan bagi walk in ini serta syarat-syaratnya.
Kumpulan sasar bagi walk in
Kumpulan sasar bagi pendaftaran suntikan penggalak secara walk in adalah seperti berikut:
- Penerima yang layak pemberian dos penggalak;
- Individu yang ingin mendapatkan suntikan secara lebih awal sebelum janji temu;
- Mereka yang masih belum menerima suntikan dos pertama atau kedua vaksin Covid-19;
- Individu yang terlepas janji temu vaksin; dan
- Remaja berusia antara 12-17 tahun yang belum melengkapkan vaksinasi.
Keutamaan pemberian dos penggalak
Setakat ini, dos penggalak ini adalah diutamakan kepada:
- Petugas barisan hadapan kesihatan, keselamatan dan pertahanan;
- Individu berusia 40 tahun dan ke atas;
- Individu berusia 18 tahun dan ke atas dengan komorbiditi;
- Penghuni dan petugas di Pusat Jagaan Kesihatan Jangka Panjang;
- Ibu yang sedang mengandung; dan
- Mereka yang mempunyai keperluan untuk ke luar negara.