Pada awal bulan ini, seorang pemain tenis handalan dari China, Peng Shuai mendakwa beliau pernah diserang dengan gangguan seksual. Dakwaan serangan seksual ini turut mengheret Parti Komunis China ke dalam kancah skandal #MeToo.

Ini kerana, penyerang Peng Shuai ini bukanlah orang sembarang. Zhang Gaoli merupakan mantan orang nombor dua yang paling berkuasa di China selama enam tahun.

Maka, dakwaan Peng Shuai ini pantas menjadi isu yang hangat di China dan juga bagi Women’s Tennis Association (WTA) yang mempertahankan beliau. Ini latar belakang dakwaan #MeToo yang menggegarkan dunia tenis dan negara tembok besar tersebut.

Bermula sebagai posting Weibo

Kredit gambar: Tech Arp

Di dalam hantaran 1,600 patah perkataan melalui aplikasi Weibo, Peng Shuai mendakwa beliau telah dipaksa untuk melakukan hubungan seksual. Dakwaan tersebut ditujukan kepada Zhang Gaoli.

Ini merupakan kali pertama seorang pemimpin politik kanan China terpalit dengan dakwaan serangan seksual. Sehingga hari ini, dakwaan tersebut tidak dijawab oleh Zhang Gaoli ataupun mana-mana pemimpin Parti Komunis China.

Di dalam hantaran tersebut, Peng Shuai menulis bagaimana beliau tahu kuasa dan pengaruh Zhang Gaoli akan memadamkan dakwaan seksual itu. Zhang dikatakan tidak takut dengan dakwaannya. Sebagai insan yang kerdil, membayangkan dirinya sebagai rama-rama; Peng Shuai berkata beliau sanggup membuka pekung Zhang yang disifatkannya sebagai api yang membara.

Serangan tersebut, menurut Peng Shuai berlaku ketika Zhang Gaoli mengajaknya untuk bermain tenis di rumah pemimpin itu. Peng langsung tidak memberikan sebarang persetujuan, malah menangis selepas serangan tersebut.

Bagaimanapun, hantaran tersebut hilang dari Weibo.

Reaksi Women’s Tennis Association (WTA) dan dunia

Kredit gambar: WTA

Selepas membuat hantaran tersebut di Weibo, Peng Shuai hilang dari radar. Tiada sesiapa yang tahu keadaan dan kedudukan pemain tenis tersebut. Hanya pada minggu lalu, satu e-mel telah dihantar kepada agensi berita China CGTN, yang kononnya dari Peng Shuai dan menafikan dakwaan asal beliau di Weibo.

Aneh, bukan?

Kemudian, terdapat hantaran di satu lagi aplikasi WeChat, menggunakan nama beliau dengan meletakkan caption “hujung minggu yang bahagia”. Sehingga hari ini, kesahihan hantaran tersebut diragui oleh masyarakat dunia. Misteri kehilangan Peng Shuai ini mendapat kritikan keras dari Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan juga Women’s Tennis Association (WTA) sendiri.

Weibo dikawal sepenuhnya di China oleh kerajaan. Sehingga hari ini, carian nama Peng Shuai juga disekat oleh aplikasi tersebut.

Barisan pemain-pemain tenis handalan dunia seperti Serena Williams, Naomi Osaka dan Novak Djokov pula memulakan kempen menyokong Peng Shuai. WTA juga mengugut untuk membatalkan dua kejohanan di China sekiranya Peng Shuai masih lagi digam oleh kerajaan China.

Kemunculan melalui sidang video

Kredit gambar: BBC

Teka-teki mengenai keberadaan Peng Shuai akhirnya terjawab apabila International Olympic Council berjaya menghubunginya. Presiden IOC sendiri, Thomas Bach dapat bercakap dengan atlet yang dua kali berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik itu.

Menerusi kenyataannya, Thomas memaklumkan Peng Shuai berada di dalam keadaan yang selamat dan sihat. Peng Shuai berterima kasih kepada IOC dan masyarakat dunia atas sokongan yang diberikan. Beliau juga memaklumkan bahawa beliau kini berada di rumahnnya di Beijing dan memohon diberikan ruang privasi.

Apa yang pasti, dunia sukan dan WTA akan terus menyokong Peng Shuai.