Semalam, pada 17 Mei 2020, topik salah Najib menjadi sohor kini sekali lagi selepas Datuk Seri Mukhriz Mahathir hilang jawatan sebagai Menteri Besar Kedah buat kali kedua.
Dalam sidang media di mana beliau mengumumkan perletakan jawatannya, Mukhriz memberitahu Datuk Seri Najib Razak adalah sosok di belakang plot yang bertanggungjawab menyingkirkannya.
“Walaupun arahan untuk menjatuhkan saya di Kedah datang daripada Presiden Bersatu melalui (Datuk Seri) Hamzah Zainuddin (Setiausaha Agung Bersatu), tetapi protagonis sebenar masih orang yang sama dengan dulu iaitu Najib Razak.
“Tujuannya tidak lain tidak bukan semata-mata membebaskan dirinya daripada pertuduhan pecah amanah 1MDB, SRC International dan banyak lagi skandal mega yang mencemar nama baik Malaysia di persada dunia.
Najib menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini mendakwa kenyataan Ahli Parlimen Jerlun itu berbohong. “Dalam bulan Ramadhan ni pun dia sanggup berbohong macam ni,” katanya.
“Sebab apa saya disalahkan apabila pemuda ini (Mukhriz) hilang kerja?
“Sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bermula, saya cuma #stayathome main FB, kucing dan makan Super Ring.”
Jika anda mengikuti perkembangan politik negara, anda akan tahu ini bukan kali pertama alasan ‘salah Najib’ digunakan. Berikut merupakan 10 lagi benda yang berlaku yang menjadi ‘salah Najib’:
1. Harga barang naik
Pada Januari 2014, media melaporkan rintihan rakyat mengenai kenaikan harga barangan keperluan asas. Sebagai Perdana Menteri pada ketika itu, Najib dipersalahkan.
Menjawab isu ini, Najib berucap pada majlis penyampaian bantuan kepada mangsa banjir dan meraikan sukarelawan peringkat nasional:
“Kalau harga sayuran naik, sawi naik, kangkung naik, ada masa dia naik, ada masa dia turun. Hari ini dalam surat khabar, saya baca, ada yang dah turun.
“Kangkung dulu naik, sekarang ini dah turun. Bila turun apa pasal tak puji kerajaan? Bila naik salahkan kerajaan. Ini tidak adil sebab ini adalah (ekoran) keadaan [dan] cuaca.”
2. Harga getah turun
Sekitar awal 2014, harga getah dilaporkan berada pada paras RM2.50/kg, menurun daripada RM2.90/kg.
Kejatuhan harga getah ini menyebabkan punca pendapatan penoreh getah terjejas. Sedangkan pada masa yang sama, harga baja dan barangan keperluan asas sedang meningkat.
Kerajaan pimpinan Najib pada ketika itu memperkenalkan Kad Autoriti Transaksi Getah (KAT-G) untuk memudahkan kerajaan mengenalpasti pemotong getah yang layak dibantu di bawah Skim Bantuan Pendapatan Pekebun Kecil Getah.
Tetapi ia tak mencukupi terutamanya bagi pemotong getah yang tidak memiliki KAT-G dan hanya berharap kepada BR1M.
3. Pengundi India tak sokong BN
Menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 2018, Barisan Nasional (BN) mengesan terdapatnya penurunan sokongan kaum India terhadap MIC.
Ketika itu ada sebahagian pemimpin BN yang mengatakan ia salah Najib kerana beliau terlibat dalam skandal 1MDB sebagai puncanya.
4. BN kalah PRU14
Susulan kekalahan BN dalam PRU14, beberapa pemimpin Umno tampil menyalahkan Najib sebagai punca kekalahan mereka.
Pemimpin pertama adalah YB Khairy Jamaluddin yang memberitahu memberitahu Channel News Asia bahawa dia menyesal tidak memberitahu Najib bahawa akar umbi menolak Umno berikutan penyingkiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dari parti itu.
Pemimpin kedua adalah Datuk Nur Jazlan Mohamed. Bercakap kepada media, Jazlan memberitahu:
“Jangan beritahu saya dia tidak baca media sosial seperti Facebook dan Twitter, mengenai isu-isuberhubung diri dan keluarganya? Mustahil.
“Dalam politik, beliau, sebagai pemimpin parti, sepatutnya mengetahui bahawa semua persepsi negatif terhadap diri dan keluarga beliau akhirnya akan menyebabkan kekalahan Umno dan BN.
“Kami tewas kerana persepsi ini, kerana semuanya berkait dengannya.”
5. Perlantikan speaker Dewan Rakyat
Isu timbul apabila Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, bekas ketua hakim Mahkamah Rayuan, dilantik menjadi sepaker Dewan Rakyat.
Pembangkang (BN) pada ketika itu membantah perlantikan tersebut kerana nama speaker yang dicadangkan perlu dikemukakan kepada sekretariat Parlimen sekurang-kurangnya 14 hari sebelum sesi Parlimen bermula.
Tetapi walaupun hanya tinggal dua hari sahaja lagi sebelum sidang Parlimen bermula, identiti speaker masih lagi belum dikenal pasti. Ini menimbulkan ketidakpuasan hati pembangkang.
Ketidakpuasan hati pembangkang ini bagaimanapun dikatakan oleh YB M. Kulasegaran sebagai cubaan untuk mengalih perhatian daripada isu skandal 1MDB Najib. Najib kemudian membalas:
“Saya bukan lagi Perdana Menteri atau berada dalam kerajaan yang mentadbir, maka kenapa pula saya dipersalahkan terhadap isu perlantikan speaker ini?”
6. Hibah Tabung Haji rendah
Pada tahun 2019, Tabung Haji mengumumkan kadar hibah paling rendahnya dalam sejarah. Difahamkan antara sebab mengapa hibah Tabung Haji rendah adalah kerana kelemahan pengurusan yang dahulu.
Ini kerana kerana hibah 2018 adalah refleksi tugasan dan keputusan pengurusan TH sejak dari tahun sebelumnya sehinggalah tahun 2017 dan 2018.
Secara tidak langsungnya, kerajaan pada ketika itu menyalahkan kerajaan pimpinan Najib sebagai punca mengapa hibah Tabung Haji menjadi rendah.
7. Ringgit jatuh
Semasa Najib menjadi Perdana Menteri, pembangkang mengatakan kejatuhan ringgit disebabkan oleh kelemahan ekonomi Malaysia.
Bagaimanapun apabila pembangkang menjadi kerajaan, kejatuhan ringgit masih berterusan. Ini membuat Najib bertanya:
“Saya nak tanya apa terjadi dengan slogan ‘Najib turun, Ringgit naik’ kerana isu itu adalah antara propaganda utama PH sebelum PRU14. Sehingga ada yang mengeluarkan propaganda menipu bahawa Ringgit Malaysia tidak laku lagi di negara Thailand.
“Najib dah turun 15 bulan, ringgit dah naik belum? Ataupun slogan perlu ditukar menjadi Guan Eng turun, ringgit naik?
8. Hutang negara banyak
Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini memaklumkan hutang negara kini mencecah RM1.08 trilion atau 80.3 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia setakat 31 Disember 2017.
Najib menafikan dakwaan hutang RM1.08 trilion tersebut. Beliau berkata, definisi hutang RM1 trilion itu tidak mengikut tarif antarabangsa kerana memasukkan dua unsur tambahan iaitu liabiliti luar jangka serta pembayaran pajakan.
“Dokumen PH semalam mengesahkan apa yang BN perkatakan selama ini, saya tidak pernah berganjak bahawa itulah (RM688 bilion) hutang negara sebenar.
9. PH tumbang
Susulan perlaksanaan Langkah Sheraton, kerajaan Pakatan Harapan diganti oleh kerajaan Perikatan Nasional.
Mengulas tentang isu ini, Tun Dr Mahathir berkata langkah itu berjaya kerana salah Najib yang berjaya mempengaruhi orang Melayu hingga mereka percaya DAP berkuasa dan Dr Mahathir di berada di bawah telunjuk parti tersebut.
Najib membalas:
“Yang umum keluar PH dan menyebabkan kerajaan PH tumbang: Parti PM7 sendiri.
“Yang letak jawatan dalam parti dan kerajaan: PM7.
“Yang pecat pemimpin-pemimpin yang sokong PM7: Parti PKR.
“Yang gesa semua pihak supaya hormati budi bicara Agong: PM7i.
“Yang jadi PM8: Muhyiddin.”