Pada tahun 2015, sebuah kapal angkasa NASA, New Horizons berjaya terbang melepasi Pluto. Perjalanan yang sepatutnya dianggap sampai ke planet kesembilan di dalam sistem solar bagaimanapun tidak lagi dilihat penting dan bermakna. Ketika kapal New Horizons berlepas di Cape Canaveral, Florida pada 19 Januari 2006, Pluto masih lagi sebuah planet yang sah.

Mungkin ketika kita di bangku sekolah rendah, sistem solar diperkenalkan dengan Matahari di tengah-tengahnya. Kemudian planet-planet lain satu persatu diajar seperti Utarid, Zuhrah, Bumi, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus, Neptun dan Pluto.

Namun, pada tahun 2006, International Astronomical Union (IAU) telah mengundi keluar Pluto sebagai sebuah planet di dalam sistem solar. Ini bermaksud, hanya tinggal lapan planet yang masih kekal di dalamnya.

Pluto kini dianggap sebagai planet kerdil dan tidak membawa apa-apa kesan terhadap sistem solar. Persoalannya, mengapa Pluto dinyahsenarai dan mengapa pula keputusan itu dianggap sebagai kontroversi?

Pencarian Planet X 

Kredit gambar: Amazing Sky

Planet Pluto mula ditemui pada 18 Februari 1930 dari cerapan di Lowell Observatory, Flagstaff, Arizona. Pluto mula-mula ditemui oleh ahli astronomi muda, Clyde W. Tombaugh, dengan bantuan oleh William H. Pickering.

Pada waktu itu, ahli astronomi sedang gigih di dalam usaha mengenalpasti planet-planet yang ada di dalam sistem solat. William H. Pickering merupakan seorang pengkaji sistem solar yang sangat prolifik.

Kajian tersebut didanai oleh Percival Lowell, seorang hartawan di Boston yang mengasaskan Lowell Observatory. Kajian mereka tertumpu kepada pencarian Planet X yang dianggap sebagai planet kesembilan. Hingga tahun 1909, Lowell dan Pickering berjaya menyimpulkan beberapa koordinat yang mungkin merupakan kedudukan Pluto. Namun sehingga kematian Lowell, biarpun pernah berjaya mengambil gambar kabur Pluto, beliau tidak tahu yang sebenarnya pencariannya sudah berjaya.

Penemuan Pluto oleh Clyde Tombaugh

Kredit gambar: Click Americana

Pencarian Planet X bersambung semula pada tahun 1929 dengan kehadiran Clyde Tombaugh. Tombaugh diminta untuk membandingkan gambar langit malam yang diambil dengan sela masa dua minggu dan melihat kepada sebarang corak pergerakan. Hanya setahun kemudian, iaitu pada Februari 1930, Tombaugh berjaya menemui pergerakan tersebut.

Pada Mac 1930, berita penemuan itu dihantar ke Harvard College Observatory. Akhirnya, berita penemuan itu tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Sebagai badan yang berusaha mencari Planet X, Lowell Observatory dianggap berhak untuk memberikan nama kepada planet baru tersebut. Akhirnya, nama yang dicadangkan oleh seorang kanak-kanak perempuan, Venetia Burney dari Oxford dipilih.

Planet X dinamakan sebagai Planet Pluto sejak tahun 1930 hingga tahun 2006.

Pluto dikeluarkan dari senarai dan kontroversinya

Kredit gambar: WIRED

Terdapat banyak perselisihan faham diantara ahli-ahli Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) ketika mereka mengubah status Pluto 13 tahun lalu. Ketika pengundian, IAU dianggap sengaja membiarkan proses tersebut dilakukan pada saat akhir, ketika ramai ahli telahpun berangkat pulang ke negara masing-masing.

Punca Pluto dikeluarkan dari senarai kerana IAU menetapkan definisi lain untuk planet yang mana ia perlu mengorbit matahari, mempunyai bentuk hampir bulat dan lingkungan sekitar orbit yang jelas. Pluto, gagal memenuhi definisi ketiga iaitu memiliki lingkungan yang jelas. Orbit Pluto yang dipenuhi objek kecil dan berais menyebabkan ia diklasifikasikan sebagai planet kerdil.

Pentadbir NASA bagaimanapun tidak bersetuju dengan nyahsenarai Pluto. Sebagai contoh, Jim Bridenstine adalah antara individu yang berpendapat Pluto masih harus diklasifikasikan sebagai sebuah planet. Beliau menyatakan pendapatnya tentang planet kecil itu ketika lawatan ke Bangunan Kejuruteraan Sains Aeroangkasa di University of Colorado Boulder.

Namun, pandangan tersebut tidak akan mengubah status pluto sebagai planet kerdil.