Pengetip kuku merupakan alat penjagaan diri yang sangat sinonim dengan kita. Terdapat lima perkara yang melibatkan fitrah manusia, tidak kira yang beragama Islam atau sebaliknya. Salah satu daripadanya adalah memotong kuku.
Ini disahkan melalui hadith sahih dari Imam al-Bukhari. Namun begitu, tiada sebarang pengkhususan hari disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW bagi memotong kuku.
Justeru, tidak salah untuk memotong kuku pada bila-bila masa apabila kita merasakan kuku kita agak panjang. Apa yang penting, menjaga kebersihan diri adalah sangat digalakkan kerana menjadi tuntutan sebahagian daripada iman.
Pengetip kuku yang ada di dalam pasaran pada hari ini biasanya dihasilkan dari stainless steel. Namun, ada juga pengetip kuku yang dibuat dari plastik dan aluminium.
Terdapat ramai pencipta yang dikatakan mencipta dan memperbaiki penghasilan pengetip kuku. Salah seorang daripada mereka ialah David Gestetner, pencipta mesin stencil duplicator.
Bermula dengan penggunaan pisau
Sebelum ini, pisau yang tajam merupakan pilihan bagi memotong kuku. Menerusi kajian Atlas Obscura, sukar untuk memberikan kredit kepada pencipta sebenar pengetip kuku moden.
Pada sekitar tahun 1875, paten bagi pengetip kuku moden mula menjelma. Ia dihasilkan oleh seorang pereka bernama Valentine Fogerty.
Bagi rekaan moden pengetip kuku yang kita gunakan pada hari ini pula, kredit diberikan kepada dua orang pereka iaitu Eugene Heim dan Oelestin Matz. Ciptaan mereka pada tahun 1881 membawa kepada pengetip kuku moden yang menggunakan cara ‘clamping’.
Ada juga idea yang terlalu moden seterusnya seperti mesin pengetip kuku menggunakan tenaga elektrik. Namun, ia tidak mendapat tempat kerana agak keterlaluan dan tidak mempunyai nilai komersil.
Jenama 777 dari Korea
Cuba belek pengetip kuku anda di rumah. Ada kemungkinan, ia dihasilkan di Korea. Tahukah anda, Korea merupakan negara pengeluar pengetip kuku terbaik di dunia melalui jenama Three Seven (777).
Syarikat Three Seven (777) ini bermula pada tahun 1975 dengan nama Daesung Industries. Ia memfokuskan pembuatan pengetip kuku dan perkhidmatan rias kuku. Obsesnya masyarakat Korea dengan kebersihan dan kecantikan diri membawa kepada peningkatan jenama ini.
Pengetip kuku juga menjadi sebahagian daripada cenderahati yang dibawa pulang oleh pelancong. Ia menjadikan jenama pengetip kuku dari Korea diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia.