Agak ironik menonton Peninsula sebagai filem pertama pasca wabak COVID-19 memandangkan ia sendiri merupakan filem pasca wabak virus yang menyebabkan Korea Selatan huru-hara dalam garis masa Train To Busan.
Tetapi ia adalah lebih ironik melihat bagaimana pengarah sama berjaya ‘merosakkan’ kejayaan filemnya sendiri dengan rilisan sekuel yang mengecewakan. Ia adah kes klasik bagaimana sesebuah naskhah sekuel gagal menyamai kualiti filem sebelumnya. Apatah lagi menjadi filem yang lebih bagus.
Susulan kejayaan filem Train To Busan (2016), Peninsula dihasilkan oleh pengarah sama, Yeon Sang-ho, sebagai sambungan kepada peminat filem aksi-thriller tersebut.
Berlatarbelakangkan garis masa empat tahun selepas letusan wabak virus di Train To Busan, Peninsula membawa penonton masuk ke alam pasca-malapetaka.
Ramuan filem pasca-malapetaka yang bagus sentiasa terletak kepada drama naluri asas manusia. Kita dapat melihat dalam filem-filem pasca-malapetaka bagus seperti Mad Max: Fury Road (2015), Snowpiercer (2013), I Am Legend (2007) dan The Host (2006), bagaimana manusia boleh berubah dek nalurinya yang mahu terus hidup.
Tetapi dalam Peninsula, elemen kemanusiaan ini hanya menjadi ‘penumpang’ yang dipaksa duduk senyap di kerusi belakang. ‘Pemandu’ utamanya adalah keobsesan Yeon Sang-ho menjadikan Peninsula sebagai filem yang penuh aksi, tapi kekurangan ‘isi’ yang selalunya menjadi kekuatan filem Korea Selatan.
Ketika trailer Peninsula dirilis pada April lepas, kami ada menulis Sang-ho menukar kiblat sekuel Train To Busan ini ke arah acuan filem-filem aksi-thriller seperti Land of the Dead, Mad Max, Mad Max: Fury Road dan The Road.
Tetapi siapa sangka pertukaran kiblat ini membuatkan Peninsula menjadi filem aksi tipikal yang biasa penonton dapat lihat dalam saluran Fox Action Movies di Astro/unifi TV?
Hasilnya membuatkan Peninsula boleh menyebabkan penonton menyangka filem ini diarahkan oleh Michael Bay berbanding Yeon Sang-ho.
Misi berbahaya dalam Peninsula
Peninsula mengisahkan tentang Jung-seok, kapten tentera marin yang cuba membawa keluarganya keluar dari Korea Selatan yang sedang huru-hara dek wabak virus untuk mencari perlindungan di negara jiran.
Selepas empat tahun berlindung di negara jiran tersebut, Jung-seok mengambil keputusan untuk balik ke Korea Selatan sekejap untuk melengkapkan satu misi berbahaya bersama tiga orang lain.
Menyangka Korea Selatan hanya dipenuhi oleh zombi, Jung-seok dan tiga ahli pasukannya terkejut apabila terserempak dengan sekumpulan penduduk yang belum dijangkiti yang mahu menangkap mereka.
Untuk melengkapkan misinya, Jung-seok berdepan dengan banyak situasi yang menuntut pengorbanan dan kemahirannya sebagai tentera.
Dinamik karakter dalam Train To Busan hilang
Satu kelemahan utama Peninsula adalah kehilangan dinamik karakter yang dipersembahkan dengan baik dalam Train To Busan.
Dalam Peninsula, perkembangan semua karakternya – kecuali karakter watak utamanya – amat linear, sangat straightforward dan mudah dijangka.
Sebagai contoh, cerita latar belakang tentang Unit 631, sekumpulan tentera Korea Selatan yang ditinggalkan yang kemudiannya menjadi antagonis utama Peninsula, hanya diceritakan dalam satu baris dialog.
Sebagai antagonis, perkembangan karakter Unit 631, terutamanya Sarjan Hwang dan Kapten Seo, amat penting. Ia memberi sebab kepada penonton mengapa mereka berubah dari tentera yang sepatutnya melindungi orang awam kepada kumpulan militia yang berbahaya.
Turut menimbulkan persoalan kepada penonton adalah mengenai karakter Atuk Kim.
Sebagai salah satu watak penting yang menyumbang kepada kejayaan protagonis, tak banyak yang pengarah ceritakan tentang mengapa Atuk Kim kurang siuman dan latar belakang hubungannya dengan Mejar Jane (lakonan pelakon Malaysia, Bella Rahim).
Selain itu, ketiadaan konflik antara Jung-seok dengan Min-jung juga menimbulkan persoalan. Ia membuatkan rasa bersalah Jung-seok selama empat tahun sia-sia dan tak relevan dalam plot filem. Ia juga menjadikan perkembangan karakter Min-jung menjadi sangat linear.
Semua elemen drama ini seakan diabaikan oleh pengarah untuk memberi laluan kepada aksi-aksi CGI yang ada kalanya kelihatan agak ‘kartun’.
Jangan salah anggap. Aksi-aksi CGI dalam kebanyakan filem Hollywood juga ada yang kelihatan agak ‘kartun’. Dan aksi-aksi dalam Peninsula masih menghiburkan.
Tetapi tanpa perkembangan karakter, ia membuatkan penonton tiada pertalian emosi apabila watak baik dan jahat mati. Ini menyebabkan penonton fokus kepada aksi semata-mata, sekaligus mendedahkan kekurangan dan limitasi CGI dalam Peninsula.
Lubang plot di hujung filem
Dalam babak awal filem ini, penonton akan diberitahu mengenai kelemahan zombi: mereka tak boleh melihat pada waktu malam dan tertarik kepada bunyi kuat.
Tetapi dalam babak terakhir, penonton pasti akan tertanya-tanya: mengapa tiada zombi yang datang menyerang ketika helikopter Chinook datang mendarat untuk menyelamatkan protagonis?
Bukankah bunyi kuat dari Chinook akan menarik kedatangan banyak zombi ke lokasi pendaratan helikopter tersebut?
Bagaimanapun disebalik kelemahan-kelemahan ini, ada satu perkara positif tentang Peninsula yang boleh dipuji. Jika anda merupakan peminat filem aksi, anda akan berpuas hati. Sekuel Train To Busan ini penuh dengan aksi-aksi beradrenalin tinggi yang tidak akan membuatkan anda mengantuk.
Cuma sayangnya, itu sahaja kekuatan Peninsula.
Rating Rencah: 5/10