Selain daripada kakitangan hospital termasuk jururawat serta doktor yang sememangnya agak sibuk bagi menangani wabak COVID-19 yang kian berleluasa pada ketika ini, tekanan sebagai Menteri Kesihatan bagi sesebuah negara juga tidak kurang hebatnya.

Ia dibuktikan apabila Bruno Bruins yang merupakan Menteri Kesihatan, Kebajikan dan Sukan Belanda telah meletakkan jawatan selepas beliau rebah ketika sedang berbahas mengenai isu wabak tersebut di sidang parlimen negara terbabit, pada Rabu lalu.

Sebaik sahaja kembali bangun selepas dibantu Menteri Hal Ehwal Sosial, Wouter Koolmees, Bruins sempat meneguk segelas air dan mahu kembali meneruskan perbahasannya tetapi beliau dipaksa beredar daripada dewan tersebut.

Menurut laporan Harian Metro, Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte, peletakan jawatan tersebut telah diterima kerana masih tidak dapat dipastikan bilakah Bruins akan kembali bertugas.

“Keadaan krisis ini memerlukan seorang menteri yang berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya dan mampu untuk bertindak serta merta,” ujar Perdana Menteri berusia 53 tahun itu.

Dalam pada itu, Bruins mengakui agak kepenatan berikutan minggu yang cukup mencabar dihadapinya susulan wabak COVID-19 ini dan beliau amat komited untuk memerangi masalah itu.

”Saya pengsan kerana amat kepenatan berikutan minggu yang terlalu padat. Kini keadaan semakin bertambah baik lagi, saya akan pulang sekarang (semalam) untuk berehat.”

”Saya akan kembali bekerja esok (hari ini) untuk memerangi krisis corona dengan sebaik mungkin.”

Setakat ini, sebanyak 2460 kes positif COVID-19 dilaporkan di Belanda yang turut menyaksikan 76 kematian dicatatkan.

Kredit foto: Twitter Bruno Bruins