Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan menasihatkan rakyat untuk tidak terlalu memilih kerja dan perlu merebut peluang pekerjaan yang ada, ketika dunia berdepan dengan kelembapan ekonomi pada masa ini.
Beliau berkata, kementeriannya komited untuk memastikan rakyat, terutamanya yang kehilangan pekerjaan, untuk dapat bekerja semula dalam situasi sekarang. Ia dilakukan dengan melaksanakan pelbagai usaha antaranya perbincangan dengan pihak industri dan syarikat perniagaan terlibat.
Menurut Menteri Sumber Manusia, graduan institusi pengajian tinggi terutamanya yang mempunyai pinjaman pelajaran seperti pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak boleh terlalu memilih sedangkan peluang pekerjaan terbuka kepada mereka.
“Pihak industri dan syarikat di negara ini bersetuju untuk mengambil pekerja tempatan dengan syarat mereka boleh bekerja dan memberi komitmen dan ia dilihat mampu mengurangkan kadar pengangguran di negara ini,” katanya kepada BERNAMA.
Terdahulu, Saravanan melawat industri di Xinyi Solar (Malaysia) Sdn Bhd di Lipat Kajang di sini, dan dalam lawatan itu beliau turut meninjau pelaksanaan normal baharu serta pematuhan dan pengendalian prosedur operasi standard (SOP), di kawasan tempat kerja dan penempatan pekerja.
Beliau berkata, kementeriannya juga pada masa ini sedang mengkaji permintaan serta keperluan pekerja asing bagi membolehkan rakyat tempatan mendapat lebih banyak peluang pekerjaan dan pada masa sama keperluan tenaga kerja pemain industri negara ini dapat dipenuhi.
Inisiatif Kementerian Sumber Manusia kepada cipta pekerjaan
Baru-baru ini Kementerian Sumber Manusia melalui kerjasama PERKESO telah melancarkan pelbagai program dalam usaha untuk membantu rakyat yang kehilangan pekerjaan dan graduan baru yang sedang mencari pekerjaan.
Menerusi Pakej Insentif Pengambilan Pekerja (PENJANA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lepas, kerajaan mengumumkan perlaksanaan program Penjana Kerjaya.
Kerajaan turut menaiktaraf Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara (MYFutureJobs) untuk melicinkan lagi perjalanan Penjana Kerjaya.
Selain itu, kerajaan turut melancarkan geran padanan berjumlah RM50 juta untuk pekerja ekonomi gig yang mencarum dalam PERKESO. Setiap pekerja ekonomi gig layak menerima padanan caruman dari kerajaan sehingga RM162 seorang di bawah Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri PERKESO.
Untuk pekerja sendiri pula, kerajaan melaksanakan Skim Bencana Pekerjaan PERKESO untuk melindungi mereka daripada sebarang kemalangan.
Program Subsidi Upah yang memberi subsidi gaji RM600 pula dilanjutkan selama tiga bulan lagi untuk menggalakkan majikan mengekalkan pekerja mereka pada waktu sukar ini.
Jabatan Statistik Negara sebelum ini melaporkan kadar pengangguran negara meningkat 5% pada April 2020 susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak COVID-19. Ini merupakan peningkatan 48.8% berbanding tahun lepas.
Sejumlah 778,800 rakyat Malaysia sedang menganggur ketika ini.