Pada hari ini, Zhejiang Geely Holding Group Co.Ltd (ZGH) ataupun dikenali dengan nama Geely merupakan salah sebuah gergasi automotif terbesar di dunia. Namun begitu, syarikat yang diasaskan pada tahun 1986 oleh seorang anak petani bernama Li Shufu ini hanya berniat untuk mencipta alat ganti peti sejuk.

Ayuh kita terokai beberapa syarikat ternama dunia dengan produk asal yang mungkin anda tidak tahu.

1- Geely dan alat ganti peti sejuk

Kredit gambar: https://www.autonews.com/article/20171112/INDUSTRY_REDESIGNED/171119923/why-geely-could-be-a-contender

Dalam tahun 1986, Li Shufu meminjam wang daripada bapanya untuk memulakan perniagaan alat ganti peti sejuk. Perniagaan tersebut berjaya dan beliau mula menceburkan diri dalam perniagaan automotif dengan mencipta motorsikal mampu milik pada pertengahan tahun 1990-an.

Pada hari ini, Kumpulan Geely memiliki pegangan di dalam beberapa syarikat penting iaitu Geely Auto, Lynk & Co, Proton, dan Lotus selain memiliki Kumpulan Volvo dan anak syarikatnya Polestar.

Sepanjang tahun 2020, disebalik pandemik Covid-19 yang melanda China dan seluruh dunia, Geely berjaya menjual 1,320,217 buah kenderaan, melebihi sasaran asal mereka. Bagi tahun 2019 pula, mereka berjaya menjual 1,361,560 buah kenderaan. Tahun 2020 juga menyaksikan Geely menjadi syarikat China pertama berjaya menjual 10,000,000 kenderaan buatan mereka.

2. Sony dan periuk nasi

Kredit gambar: https://www.gizmodo.com.au/2010/09/sonys-first-failure-the-1945-electric-rice-cooker/

September 1945, pasca Perang Dunia Kedua, Masaru Ibuka pulang semula ke Tokyo telahpun musnah akibat perang. Bersama-sama dengan rakannya, mereka memulakan kerja-kerja membina semula ekonomi negara Jepun dari bilik kecil yang terletak di tingkat tiga, Tokyu Department Store.

Kerja-kerja yang mula dibuat oleh Ibuka dan rakan-rakannya adalah membaiki semula radio komunikasi yang rosak semasa perang. Permintaan yang tinggi pada waktu itu menyebabkan mereka tidak menang tangan. Sebagai pusingan modal permulaan, Ibuka membayar gaji rakan-rakannya dari simpanannya sendiri.

Produk pertama yang berjaya dikeluarkan oleh mereka adalah periuk nasi. Idea periuk nasi adalah kerana Ibuka mahukan produk yang mampu menembusi rumah-rumah pengguna dengan pantas. Namun begitu, prototaip periuk nasi keluaran mereka ini menemui kegagalan lantaran aliran masuk tenaga elektrik yang berbeza-beza di setiap rumah selepas perang, selain penggunaan beras dan sukatan air yang berbeza-beza.

Pada hari ini, Sony menguasai pelbagai segmen barangan elektrik dan elektronik di seluruh dunia. Sudah pasti anda pernah bermain konsol permainan video sama ada PlayStation 4 ataupun PlayStation 5. Sony juga merupakan syarikat pembuat televisyen kelima terbesar di dunia, selain menduduki tangga ke-122 bagi 500 syarikat terbesar di dunia menurut senarai Fortune Global 500.

3- Huawei dan papan suis telefon (telephone switchboard)

Kredit gambar: https://welcometolensville.wordpress.com/2013/03/14/communicating-with-the-past/

34 tahun yang lalu, Huawei bermula di Shenzen, China sebagai ejen kepada syarikat kabel rangkaian telefon Hong Kong. Berbekalkan modal sendiri dan sedikit yang dikumpulkan dari rakan-rakannya sebanyak RM19,611.77 (EUR4,000) Ren Zhengfei mendirikan Huawei.

Sewaktu mula membina Huawei, modal adalah masalah yang besar buat Ren Zhengfei. Syarikat milik persendirian amat sukar untuk mendapatkan pinjaman dari bank. Untuk menyelesaikan masalah ini, Zhengfei menjadikan Huawei sebagai milik pekerja-pekerjanya, maka mereka boleh berkongsi modal dan mendapatkan pinjaman.

Perkongsian modal ini akhirnya membawa pulangan yang lumayan kepada Huawei. Pada hari ini, Huawei dimiliki oleh 96,000 orang pekerjanya dengan Ren Zhengfei sebagai pemilik saham terbesar dengan memegang 1.4 peratus daripada pemilikan syarikat.

Huawei kerap kali membandingkan mereka dengan Ericsson, gergasi telekomunikasi Sweden. Sewaktu Ren Zhengfei memulakan perniagaan sebagai ejen kabel rangkaitan telekomunikasi, Ericsson sudah bertapak di China selama tiga tahun.

Akhirnya pada tahun 2012, Huawei berjaya memintas Ericsson sebagai syarikat pembekal peralatan kejuruteraan telekomunikasi terbesar di dunia. Pada tahun itu, mereka telahpun beroperasi di 170 buah negara dengan membekalkan pelbagai perkhidmatan telekomunikasi dan rangkaian internet.

Pada tahun 2018, Huawei berjaya menjadi pengeluar telefon pintar kedua terbesar di dunia dengan memintas Apple dan mengekori Samsung. Sepanjang tahun itu, sebanyak 200 juta telefon pintar berjaya dihasilkan oleh syarikat tersebut. Pada Julai 2020 pula, Huawei memintas Samsung sebagai gergasi terbesar telefon pintar dunia.

Sumber: