Ketam nipah atau nama saintifiknya Scylla Serrata bukan sumber makanan yang asing dalam masyarakat setempat. Ia merupakan haiwan laut dari jenis krustasea dan memiliki cengkerang sama seperti udang.
Oleh kerana habitatnya, ketam nipah sering dikenali sebagai ketam bakau. Terdapat juga di beberapa kawasan yang menggelar haiwan ini sebagai ketam lumpur dan ketam bangkang.
Pada hari ini, ketam nipah terjual di antara RM50-RM80 sekilogram dek kerana permintaannya. Ramai yang sukakan keenakan isi ketam nipah ini yang sesuai dimasak dengan pelbagai kaedah serta resipi.
Kerana khasiatnya dan kekurangan bekalan, ia menyebabkan permintaan terhadap ketam nipah ini sentiasa tinggi.
Kitaran ekologi ketam nipah
Secara ekologinya, ketam nipah hidup di kawasan hutan paya bakau. Hutan paya bakau merupakan habitat semulajadi haiwan ini.
Namun, apabila ketam nipah betina mahu bertelur, ia akan merenang ke laut dan melepaskan seluruh telurnya. Seekor induk ketam nipah yang sihat mampu menghasilkan sebanyak 3 juta telur.
Selepas telur tersebut menetas, ia mengambil masa selama 30 hari untuk menjadi anak ketam yang sempurna. Kemudian, anak ketam nipah ini akan kembali ke habitat asal mereka iaitu kawasan hutan paya bakau.
Penternakan ketam nipah secara komersil
Bagi penternak ketam nipah, mereka akan menangkap anak ketam ini untuk dipelihara. Benih atau anak ketam ini juga dijual pada harga RM12 sekilogram.
Untuk setiap kilogram, terdapat sekitar 10 hingga 12 ekor anak ketam nipah. Berat anak ketam nipah ini adalah sekitar 90 gram seekor. Ia kemudiannya dipelihara di dalam kolam penternakan selama tiga bulan.
Anak-anak ketam ini kelak diberi makan potongan ikan tamban dan akan ditangkap selepas tiga bulan. Ini apabila berat ketam nipah tersebut mencapai sekitar 200 hingga 250 gram. Ketam nipah ini akan dijual pada tiga jenis gred mengikut beratnya iaitu A, B dan C.
Potensi merawat demam denggi
Ketam nipah berpotensi menjadi ubat kepada penyakit demam denggi. Ini menerusi ekstrak partikel nano perak yang terdapat dalam darahnya.
Ia merupakan hasil kajian oleh sekumpulan penyelidik Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Kajian penyelidik tersebut mendapati, partikel nano perak dalam darah ketam bakau adalah bahan yang mampu menjadi ubat kepada penyakit denggi.
Setakat ini, kajian sedia ada menunjukkan sup ketam tidak memainkan peranan dalam apa-apa tindak balas fisiologi berkaitan dengan demam denggi. Namun, diet yang tinggi dengan kalori dan protein adalah disarankan untuk pesakit demam denggi apabila mereka telah tiba ke fasa kebah demam.