Polis semalam memulakan siasatan berhubung satu hantaran berbaur penghinaan kepada Sultan Johor melalui fungsi story di Instagram. Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, menerima satu laporan berkaitan perkara itu, kira-kira jam 5.44 petang semalam oleh pemilik akaun Instagram berkenaan, Datin Noor Kartini Noor Mohamed.

Menurut Datin Noor Kartini, perkara itu berlaku atas kecuaian seorang kakitangannya yang mempunyai akses terhadap laman Instagram miliknya. Wanita tersebut yang juga merupakan pengurus media sosial di Noor Khan International Sdn Bhd secara tidak sengaja memuat naik hantaran tersebut di Instagram tanpa sedar menggunakan akaun bosnya.

Siasatan awal pihak polis mendapati hantaran dibuat seorang wanita tempatan berusia 32 tahun yang mengaku tersilap menggunakan akaun Instagram milik pengadu. Siasatan tersebut dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Sebelum ini, Instagram milik Datin Noor Kartini telah memaparkan gambar dan berita TV3 dengan visual Sultan Johor bertajuk ‘Sultan Johor Cadang Sekatan Penuh Bersasar’ beserta kapsyen berbentuk kritikan.