Permohonan dan tempahan untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca secara sukarela akan dibuka kepada penduduk Selangor dan Kuala Lumpur bermula jam 12 tengah hari ini. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin juga menjelaskan bahawa pemohon sukarela yang mahu menerima vaksin AstraZeneca tidak perlu membuat pendaftaran baharu dalam aplikasi MySejahtera, berikutan vaksin terbabit adalah melalui pusat pemberian vaksin (PPV) khas.

Pemberian vaksin AstraZeneca itu juga tidak dihadkan kepada mereka yang layak untuk menerima vaksin dalam fasa dua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sahaja. Terdahulu, vaksin AstraZeneca hanya diberikan kepada pemohon sukarela susulan pengumuman kerajaan yang dibuat pada hari Jumaat lalu bahawa vaksin terbabit tidak akan diguna pakai dalam PPV biasa. Pemohon sukarela ini adalah mereka yang sudah membaca segala fakta mengenai vaksin itu dan penilaian kesihatan ke atas mereka akan dibuat sebelum diberikan dos suntikan.

Kesemua 268,800 dos vaksin keluaran AstraZeneca diterima negara ini pada Sabtu lalu dan dijangka mula diberikan secara sukarela di Selangor dan Kuala Lumpur melalui PPV khas. Menurut Khairy lagi, Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) membuat pertimbangan sedemikian berikutan bilangan kes Covid-19 di Selangor dan Kuala Lumpur yang masih lagi tinggi.

Permohonan sebagai penerima vaksin secara sukarela ini boleh dibuat di laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Sumber: