Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati rakyat Malaysia supaya tidak panik dalam membeli bekalan makanan seperti yang berlaku sejak kebelakangan ini susulan penularan mendadak wabak COVID-19 di tanah air.

Seperti yang kian tular di media sosial pada ketika ini, rakyat Malaysia sudah mula berpusu-pusu membuat pembelian secara panik dengan hasrat menjadi bekalan sekiranya keadaan bertambah teruk.

Menurut sumber Astro Awani, Tan Sri Muhyiddin tidak mahu rakyat berasa gusar dengan kemungkinan bekalan makanan akan semakin berkurangan.

Hal ini kerana, beliau akan memastikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA) dapat memantau keadaan tersebut.

Bercakap kepada wartawan dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di Putrajaya pada petang tadi, ini adalah respon daripada Tan Sri Muhyiddin:

“Malam ini, saya akan membincangkan perkara ini. Rakyat jangan terlalu risau, saya sudah arahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk memastikan bekalan mencukupi.”

“Semua pasaraya akan dibuka bagi memastikan pengguna boleh membeli barangan asas.”

Di sebalik pembelian panik tersebut, Perdana Menteri kelapan itu turut mengingatkan kepada orang ramai supaya membeli barangan keperluan sahaja.

Kredit foto: Borneo Post