Jika ada satu perkataan yang dapat menggambarkan percutian saya di Colmar Tropicale, ia adalah Perancis. Segala-galanya di pusat peranginan di Bukit Tinggi, Pahang (kira-kira 33km dari Genting Highlands) mengingatkan saya kepada – apa lagi kalau bukan pekan Colmar di Perancis.

Agak pelik juga sebab sebelum ini saya langsung tak pernah mendengar adanya pusat peranginan di Malaysia yang persis kawasan desa Perancis. Maldives di Malaysia pernah saya dengar. Tapi Perancis di Malaysia belum pernah pula saya dengar sehinggalah ‘dipaksa’ bercuti di Colmar Tropicale.

Pengalaman memandu yang menyeronokkan

Semuanya bermula daripada keinginan isteri saya yang tertanya-tanya lokasi gambar di bawah ini ketika membuka paparan ‘Explore’ di Instagram:

Dari mata, turun ke hati. Tertarik dengan keindahan gambar tersebut, proses kajian dimulakan. Selepas proses kajian, tiba pula proses menempah bilik hotel. Selepas menempah bilik hotel, bermulalah proses memujuk saya supaya membawanya ke sana.

Saya tak nafikan. Colmar Tropicale bukanlah lokasi percutian yang pertama yang terlintas di fikiran mana-mana lelaki. Ia nampak seperti lokasi orang-orang berkumpul untuk menangkap gambar dan mengumpul likes di Instagram. Itu sahaja.

Saya silap.

Belum pun sampai di sana, saya sudah jatuh cinta dengan pemandangan di kiri dan kanan saya semasa memandu kereta ke sana.

Jika anda merupakan peminat rancangan Top Gear (dan The Grand Tour), anda pasti terasa seperti anda berada dalam satu episod khas mereka. Malah mungkin anda merasakan Richard Hammond, James May dan Jeremy Clarkson patut datang ke Malaysia dan memandu di sepanjang Banjaran Titiwangsa untuk menikmati apa yang saya nikmati.

Terletak di Berjaya Hills yang merupakan kawasan persendirian milik Tan Sri Vincent Tan, anda perlu melepasi dua buah pondok pengawal sebelum mendaki ke Colmar Tropicale denga kereta anda.

Di pondok pengawal kedua, anda perlu membayar RM16 (untuk seorang dewasa). Namun jika anda mempunyai tempahan bilik hotel di Colmar Tropicale, anda boleh mendapat pulangan wang semula di kaunter lobi hotel.

Dalam erti kata lain, bayaran ini adalah untuk pengunjung yang berkunjung ke kawasan tarikan di bukit ini, tetapi tidak bermalam.

Bilik hotel memuaskan

Selepas check-in, kami ditempatkan di sebuah bilik di bangunan bernama Fuchsia. Cara bilik-bilik hotel di Colmar Tropicale disusun menyerupai cara di kawasan desa Eropah. Setiap bangunan kecil menempatkan sejumlah bilik tertentu.

Jadi selepas check-in di lobi utama, anda perlu menyorong bagasi anda melalui jalan berturap cobblestone sebelum masuk ke bangunan yang menempatkan bilik hotel anda.

Bilik hotel yang kami tempah adalah deluxe room yang berharga RM200 satu malam.

Biliknya berkeluasan sederhana. Tak banyak ruang yang anda dapat di ruang tamu yang menempatkan katil dan TV. Tetapi yang paling bagusnya adalah, setiap bilik mempunyai beranda berlatarbelakangkan kehijauan dan ruang bilik air yang luas.

Setiap bilik turut dilengkapkan dengan servis bilik dan WiFi tanpa password. Saluran TV agak terhad – sesuatu yang kami agak tak kisah memandangkan capaian WiFi di bilik agak bagus.

Pilihan makanan terhad

Memandangkan kawasan ini agak terasing di atas bukit dan jauh dari pekan berdekatan, anda perlu makan dalam kawasan hotel (melainkan anda sanggup memandu 35km ke Genting Highlands).

Kami tiba pada lewat petang hari Ahad. Jadi selepas mandi dan solat jamak, barulah kami berkesempatan untuk makan.

Tetapi alangkah kecewanya kami apabila melihat hanya dua restoran yang dibuka. Ketika sampai pada waktu petang, kami dapat melihat banyak kedai dibuka. Tetapi apabila tiba waktu malam, hanya dua restoran (dan sebuah kedai 7-11) dibuka.

Kedua-dua restoran itu pula tidak menawarkan banyak pilihan kepada pelanggan. Kedua-duanya menyajikan makanan bertema Barat seperti pasta, pizza, lasagna, spaghetti dan sebagainya. Anda masih boleh makan nasi – tetapi terhad kepada nasi lemak rendang ayam.

Keterhadan pilihan ini boleh difahami. Lagipun kami berada di sebuah perkampungan ala-ala Perancis. Dan syukur kepada Tuhan, walaupun harga makanan agak mahal (disebabkan kekurangan persaingan), kualiti makanannya boleh dipuji.

Pasta yang kami pesan di restoran pertama (paling dekat dengan lobi hotel) sangat sedap. Kami dapat rasa ‘al dente’ pasta dan kualiti keju yang digunakan. Pizza yang kami pesan juga mirip pizza acuan Eropah – berkerak nipis dan tidak bertakung minyak.

Cuma jika ada satu perkara yang boleh diperbaiki oleh restoran tersebut adalah kualiti servis staf mereka. Nampak mereka kekurangan staf hingga menyebabkan pelanggan terpaksa menunggu lama sebelum dilayan.

Keesokan paginya, penginap diberikan 3 pilihan set sarapan – English breakfast (roti, kacang merah, omelette, scones), nasi lemak rendang ayam dan buah-buahan. Tiada pilihan menu lain yang biasanya ada di hotel lain seperti bijiran sarapan, mee, bihun, kuey tiaw dan nasi goreng.

Aktiviti di Colmar Tropicale

Kami agak malang kerana pada Ahad malam Isnin, tak banyak aktiviti pada waktu malam boleh dilakukan. Kami diberitahu banyak aktiviti dianjurkan oleh pihak hotel pada hari Sabtu malam Ahad. Jadi jika anda melawat pada hari lain, anda akan dapati tak banyak yang anda boleh lakukan pada waktu malam selain makan dan bergambar.

Tetapi di sebelah pagi di Colmar Tropicale, anda akan dapati banyak aktiviti menarik boleh anda lakukan.

Jika anda mempunyai anak-anak kecil, anda boleh membawa mereka berjalan-jalan di Taman Jepun dan Organic Farm. Selepas itu anda juga boleh membawa mereka bersiar-siar sambil melihat taman haiwan dan mencuba permainan di taman tema mini di belakang hotel.

https://www.instagram.com/p/CDgxC6mDhGt/

Untuk hiburan lebih dewasa pula, anda boleh mencuba aktiviti lasak seperti rock climbing, flying fox, menaiki kuda, paintball dan bermain sukan seperti bowling, ping pong dan golf.

Tetapi boleh dikatakan hampir semua aktiviti ini berbayar. Ia tak dibantu pula dengan wabak COVID-19 yang masih melanda negara ketika kami melawat. Jadi kebanyakan aktiviti-aktiviti ini ditutup kepada umum.

Jika anda tidak berminat dengan semua aktiviti berbayar ini, anda akan cepat ‘pisang’. Tak banyak yang anda boleh lakukan di sini selain bersiar-siar di Taman Jepun dan bergambar di kawasan sekitar.

Colmar Tropicale: 2 hari 1 malam sudah cukup

Bagi saya, Colmar Tropicale adalah antara lokasi pusat peranginan yang banyak potensi, tetapi tidak dipenuhi dengan baik. Berdasarkan pengamatan saya di sana, hampir 95% pelancong di sana merupakan keluarga muda yang mempunyai anak kecil. Tak sukar untuk tahu kenapa.

Ia mempunyai latar belakang alam semulajadi yang cantik, landskap yang menarik dan arkitektur yang menawan hati wanita untuk bergambar bersama keluarga mereka di Instagram. Tetapi malangnya itu sahaja yang bagus.

Kekurangan aktiviti dan pilihan makanan menyebabkan Colmar Tropicale merupakan lokasi percutian yang anda akan cepat bosan. Dua hari satu malam sudah cukup lama. Lebih lama daripada itu, anda akan ‘pisang’.

Baca juga artikel lain yang berkaitan: