Pengusaha Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, mendedahkan beliau ada dihubungi individu yang tidak berpuas hati dengan tindakannya membuat pendedahan mengenai kegiatan judi di sekitar Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh, kelmarin.

Mohd Asri, 42, berkata, individu berkenaan yang mengaku sebagai ‘ayahanda’ kawasan itu menghubunginya melalui panggilan telefon, semalam.

“Individu itu memberitahu dia tidak berpuas hati dengan tindakan saya mendedahkan mengenai kegiatan judi di kawasan ini dan kata perkara itu adalah salah, namun tiada ugutan diterima.

“Saya sudah merujuk perkara itu kepada pihak polis menerusi perjumpaan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, pagi tadi dan beliau memaklumkan akan melakukan siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh ketika hadir bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk meninjau lokasi yang dipercayai dijadikan sebagai premis judi di kawasan berkenaan.

Kelmarin, Mohd Asri membuat tiga siaran langsung di akaun Facebook Hot Burger Malaysia dengan mendakwa wujud beberapa premis judi serta gerai peniaga warga Indonesia keturunan Aceh yang menjual rokok seludup di sekitar Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh.

Katanya, walaupun tiada ugutan diterima daripada mana-mana pihak berhubung pendedahan itu, beliau yakin keselamatannya masih terancam.

“Mungkin hari ini tiada apa-apa yang berlaku, namun bahaya itu akan datang kemudian kerana isu ini masih ‘panas’.

“Dalam perkara ini, pastinya ada risiko kerana mesti ada rasa dendam terhadap saya akibat membuat pendedahan berkenaan. Bagaimanapun, saya serahkan semuanya kepada Allah,” katanya.

Mengulas mengenai perjumpaannya bersama Abdul Hamid, beliau berkata, Abdul Hamid mengucapkan terima kasih kerana membantu menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

“Ketika perjumpaan tadi, Ketua Polis Negara mengucapkan terima kasih atas maklumat ini dan meminta untuk saya menceritakan mengenai perkara yang berlaku.

“Dalam perjumpaan itu, beliau memberikan kata-kata semangat kepada saya supaya tidak takut dalam mendedahkan perkara ini.

“Malah, Ketua Polis Negara memaklumkan akan membanteras kegiatan judi kerana beliau tidak suka aktiviti itu berleluasa di negara ini,” katanya.

Asri turut berkata tindakannya itu membuatkan hubungan beliau dengan peniaga-peniaga lain di kawasan itu renggang.

Tinjauan media semalam mendapati semua gerai-gerai penjaja warga asing yang masuk dalam video tular Asri tidak lagi kelihatan berniaga, malah telah dirobohkan sendiri.

khemah-khemah peniaga yang diletakkan di atas tapak parkir seperti didedahkan dalam video ‘Asri Janggut’ baru-baru ini juga sudah tidak kelihatan. (Foto: Astro AWANI)

Berdasarkan maklumat daripada penduduk tempatan, pihak berkuasa melakukan operasi di kawasan itu pada Ahad dan difahamkan kedai menjual buah milik warga asing yang tular itu turut dirobohkan pada hari sama.

Menurut mereka, kawasan berhampiran yang biasanya dipenuhi peniaga kini juga lengang kerana peniaga bimbang barangan mereka turut disita dan dirampas dalam operasi pihak berkuasa.

Menurut seorang peniaga berhampiran, semua peniaga itu tidak lagi berniaga selepas kes tersebut tular dalam media sosial selain pihak berkuasa kerap menyerbu kawasan itu dalam beberapa hari ini. 

Dalam pada itu, tinjauan mendapati kedai mesin judi yang ditularkan dalam video sama juga tidak beroperasi, pintu ditutup rapat dan tiada langsung motosikal berada di luar premis tersebut. 

Begitupun, penduduk setempat mengakui bahawa ada kedai mesin judi di kawasan itu malah mereka memberitahu ia sudah lama bertapak di kawasan itu dan dilakukan secara tersembunyi.

Meskipun sudah berulang kali diserbu namun ia kembali beroperasi beberapa minggu atau beberapa bulan selepas diserbu.

Baca juga artikel lain yang berkaitan: