Apabila wabak Covid-19 melanda dunia, banyak perniagaan yang merekodkan kerugian. Namun begitu, sektor kesihatan dan penjagaan diri menunjukkan peningkatan jualan yang sangat ketara.
Ini dibuktikan dengan penggunaan jenama Dettol yang meningkat secara mendadak. Pada tahun 2020, iaitu tahun pertama Novel Coronavirus dianggap sebagai pandemik, sebanyak 8.6 juta pengguna di UK membeli pembersih permukaan Dettol.
Sebagai perbandingan, purata hanya 4 juta pengguna membeli produk sama sepanjang tahun 2013 hingga 2019. Begitu juga dengan jualan tisu basah Dettol yang terjual hampir 5.6 juta berbanding 3.9 juta pada tahun 2019.
Ini menunjukkan kepercayaan dan kebergantungan yang tinggi terhadap jenama global ini. Namun begitu, tahukah anda kisah disebalik penciptaan Dettol berkait rapat dengan hospital dan doktor?
Sebenarnya, Dettol dihasilkan pada tahun 1933 bagi mengurangkan risiko kematian bayi yang baru dilahirkan. Ini kisah menarik disebalik ciptaan ini.
Dicipta pada tahun 1933
Ketika mula dicipta, usaha dan cita-cita Dettol hanya satu. Usaha awal mereka adalah bagi mencipta pembersih antiseptik bagi menyahjangkit peralatan yang digunakan semasa kelahiran bayi.
Maka, fokus mereka hanyalah kepada para petugas perubatan di hospital. Ketika tahun 1930-an, bayi dan ibunya mempunyai risiko yang tinggi untuk terkena penyakit sepsis.
Pembersihan dengan cecair pembersih Dettol dapat mengurangkan risiko jangkitan kuman dan bakteria kepada pesakit. Proses menyahjangkit peralatan pembedahan ini akhirnya berjaya menurunkan risiko sepsis.
Ini terbukti dengan penurunan sebanyak 50 peratus kes-kes jangkitan puerperal sepsis hanya dalam tempoh dua tahun. Dettol kemudiannya dipasarkan sebagai produk pengguna dan bukan hanya untuk kegunaan hospital.
Dengan keberkesanannya, Dettol pantas mendapat tempat di hati pengguna.
Dettol semasa pandemik dan endemik
Logo pedang dan perisai yang digunakan oleh Dettol sangat dihargai semasa pandemik. Perisai dan pedang ini menggambarkan kegunaan Dettol bagi melawan virus dan bakteria yang merebak pantas.
Jenama Dettol juga dikenali di Jerman sebagai Sagrotan. Semasa pandemik, sanitasi tangan Dettol habis dijual sebelum perayaan Tahun Baru Cina di China. Ia tidak pernah berlaku sebelum ini.
Syarikat pemilik Dettol, Reckitt Benckiser yang turut memiliki produk Vanish, Finish, Lysol dan Harpic menunjukkan peningkatan jualan mendadak. Sebanyak 60 peratus peningkatan dicatatkan oleh Reckitt Benckiser sepanjang tahun 2020.
Daripada jumlah tersebut, Lysol menunjukkan peningkatan sebanyak 70 peratus di Amerika Utara. Jualan jenama Dettol pula meningkat sebanyak 62 peratus di seluruh dunia.
Sebagai jenama kebersihan diri yang bermula dari hospital, jualan Dettol memberi impak yang baik kepada kita. Pandemik mengajar kita betapa kebersihan diri amat penting bagi melawan virus.