Donald Trump sedang menjalani penggantungan di beberapa media sosial milik beliau. Antaranya adalah Facebook, Instagram dan Twitter. Sepanjang penggunaan media sosial ini, Donald Trump memiliki tarikan pengikut yang sangat ramai dengan 35.2 juta di Facebook, 24.1 juta di Instagram dan 88.7 juta di Twitter.
Bilangan pengikut yang sangat ramai ini menyebabkan risiko yang sangat tinggi terhadap sebarang ciapan dan perkongsian yang dibuat oleh beliau. Semasa insiden rusuhan di Capitol Hill, beberapa perkongsian dan ciapan beliau dianggap mencetuskan kemarahan orang ramai dan mengapi-apikan lagi rusuhan lantas menyebabkan akaun sosial medianya digantung buat selama-lamanya.
Penggantungan Facebook dan Instagram selepas rusuhan
Sebenarnya, Facebook mempunyai beberapa langkah sebelum akaun tersebut digantung. Sebagai sebuah syarikat gergasi media sosial yang mementingkan kebebasan bersuara, bukanlah mudah untuk Facebook menggantung akaun pengguna mereka dengan tanpa sebab yang munasabah. Tempoh yang diberikan kepada Facebook adalah bermula dengan penggantungan selama 24 jam, sebulan, enam bulan, satu tahun dan akhir sekali dua tahun.
Namun apabila rusuhan tercetus di Capitol Hill dengan Donald Trump dilihat terus mengapi-apikan perusuh, Facebook tidak mempunyai banyak pilihan selain menggantung akses akaun mantan presiden tersebut buat selama-lamanya. Bermula pada tanggal 6 Januari 2021 iaitu petang rusuhan tersebut berlaku, penggantungan tersebut mula dilaksanakan bagi tempoh 24 jam. Satu jam sebelum rusuhan itu berlaku, Donald Trump berkongsi video yang meminta perusuh untuk pulang ke rumah masing-masing. Biarpun begitu, beliau masih mempertahankan tindakan mereka dan menyebabkan beberapa label diletakkan oleh Facebook dan YouTube di video tersebut sebelum membuangnya.
Perkongsian yang dibuat oleh Donald Trump yang menyatakan sokongan kepada perusuh juga dipadam oleh Facebook seperti “we had an election that was stolen from us.” dan “remember this day forever!”. Instagram yang dimiliki oleh Facebook turut menggantung akses Donald Trump pada hari yang sama bagi mengelakkan beliau berkongsi kandungan yang sama di platform lain.
Reaksi Twitter selepas rusuhan di Capitol Hill
Tidak seperti Facebook yang mempunyai Lembaga Pengawasan yang bebas daripada pengurusan kanan Facebook, Twitter mengambil tindakan yang lebih drastik dan pragmatik selepas rusuhan tersebut. Ini kerana, syarikat tersebut mengganggap tindakan Donald Trump sebenarnya menjurus kepada keadaan kecemasan yang menyebabkan mereka boleh bertindak untuk menghentikannya terus akses akaun beliau.
Selepas rusuhan tersebut berlaku dan sekatan dibuat terhadap Facebook dan Instagram, Donald Trump mula menggunakan Twitter beliau untuk menyampaikan mesej. Terdapat dua ciapan yang dibuat oleh beliau pada 8 Januari 2021 yang dianggap melanggar polisi Twitter iaitu:
“The 75,000,000 great American Patriots who voted for me, AMERICA FIRST, and MAKE AMERICA GREAT AGAIN, will have a GIANT VOICE long into the future. They will not be disrespected or treated unfairly in any way, shape or form!!!”
Dan kemudiannya, beliau menulis:
“To all of those who have asked, I will not be going to the Inauguration on January 20th.”
Pengurusan Twitter berpandangan bahawa kedua-dua ciapan ini melanggar polisi Glorification of Violence mereka. Ini kerana, Amerika Syarikat masih belum pulih daripada serangan perusuh terhadap Capitol Hill dan ciapan Donald Trump ini boleh ditakrifkan sebagai sengaja mengapi-apikan sentimen perusuh.
Ciapan ini juga boleh ditakrifkan sebagai penolakan mantan Presiden Amerika Syarikat terhadap proses demokrasi yang memilih Joe Biden sebagai presiden baru apabila beliau tidak mahu menghadiri upacara angkat sumpah Presiden ke-46 tersebut. Beliau juga dilihat tidak mahu akur dengan proses penyerahan kuasa yang teratur dan tenteram. Ketidakhadiran ini juga menyebabkan upacara tersebut dilihat memberikan kebenaran untuk ‘American Patriots’ iaitu penyokongnya untuk merusuh di program tersebut
Twitter mengambil keputusan untuk menyekat akses Twitter Donald Trump untuk selama-lamanya.
Berbanding Facebook, Twitter dilihat sebagai media sosial yang menyimpan lebih ramai pengikut Donald Trump. Seramai 88.7 juta di pengikut beliau di Twitter lebih memberikan kesan yang besar kepada setiap ciapan yang dibuat. Bagaimanapun, banyak analisis yang menunjukkan pengikut beliau di Twitter bukanlah akaun dengan pengguna sebenar tetapi akaun palsu yang dihasilkan untuk menambah jumlah pengikut. Pada tahun 2017, hampir 49 peratus daripada pengikutnya dilabelkan sebagai akaun palsu manakala pada tahun 2018, 60 peratus daripada pengikutnya dianalisis sebagai akaun palsu.
Pandangan Lembaga Pengawasan Facebook
Awal Mei lalu, Lembaga Pengawasan Facebook mengekalkan keputusan yang dibuat oleh pengurusan Facebook bagi menggantung akses Donald Trump. Namun begitu, Lembaga Pengawasan Facebook meminta agar had dan tempoh waktu penggantungan dipatuhi iaitu dengan menetapkan tarikh akhir bagi penggantungan tersebut.
Pada pandangan Lembaga Pengawasan, tanpa menetapkan tarikh akhir bagi tempoh penggantungan, Facebook dilihat tidak mematuhi aturan biasa mereka. Biarpun begitu, Lembaga Pengawasan memberi masa selama enam bulan untuk Facebook membincangkan tentang tempoh masa tersebut dan mengumumkannya kembali.
Lembaga Pengawasan juga bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh pengurusan Facebook selepas insiden rusuhan di Capitol Hill kerana ia dilakukan atas dasar keadaan cemas yang memerlukan kepada tindakan drastik dan segera.
Facebook menggantung Donald Trump selama dua tahun
Selepas mendapat pandangan daripada Lembaga Pengawasan Facebook, akhirnya pengurusan Facebook meletakkan satu tempoh masa terhadap penggantungan Donald Trump. Buat masa ini, akaun beliau akan digantung selama dua tahun, iaitu mulai 7 Januari 2021 sehingga 7 Januari 2023.
Jadi, adakah pengikut beliau yang berjumlah 35.2 juta di Facebook dan 24.1 juta di Instagram akan terus melihat posting pertama Donald Trump pada 8 Januari 2023? Facebook tidak memberikan jawapan yang pasti.
Menurut pengurusan kanan Facebook, selepas tempoh penggantungan ini berakhir, Facebook akan mengadakan kajian yang dianggotai oleh pakar untuk melihat kesesuaian dan keadaan semasa pada waktu tersebut. Risiko terhadap orang awam akan diteliti termasuklah faktor kecenderungan terhadap mencetuskan keganasan, huru-hara serta panggilan kepada sebarang rusuhan.
Sekiranya kajian tersebut masih melihat kepada kecenderungan ini, maka penggantungan tersebut akan disambung untuk had masa yang lain pula. Facebook juga sedar penggantungan ini akan menyebabkan penyokong Donald Trump membeza-bezakan mereka dengan syarikat media sosial yang lain. Namun pada masa yang sama, kepentingan untuk menjaga ketenteraman awam adalah fokus utama kepada polisi dan keputusan Facebook.
Siapa tahu, mungkin Donald Trump akan berubah dalam masa dua tahun?
Reaksi Donald Trump selepas penggantungan
Terdapat beberapa langkah yang diambil oleh mantan Presiden Amerika Syarikat ke-45 ini bagi berinteraksi dengan penyokongnya selepas digantung di kesemua platform media sosial. Seawal 29 Mac 2021, pasukan media beliau melancarkan laman web 45office. Laman web ini dikatakan akan menjadi penghubung di antara Donald Trump dengan pengikutnya.
Setakat ini, laman web tersebut hanya mengandungi sejarah pemerintahan Donald Trump dari kaca mata beliau sendiri tanpa menyebut isu-isu yang menyelubunginya seperti impeachement sebanyak dua kali serta kejatuhan ekonomi pasca pandemik. Jutaan pengikutnya dijangka akan menyertai laman web ini, namun setakat ini ia kekal sebagai direktori kepada mantan presiden tersebut.
Pada tanggal 4 Mei 2021, Donald Trump melancarkan laman web baru yang dinamakan From the Desk of Donald J. Trump. Berbentuk blog, laman web tersebut membolehkan beliau berkongsi pandangan dan memberikan kenyataan dalam bentuk teks seperti Twitter. Pelayar boleh berkongsi tulisan tersebut ke Facebook dan Twitter. Namun, penyokong tidak mempunyai cara untuk membalas dan berinteraksi dengan beliau di laman web tersebut.
Seramai 159,000 orang dikatakan mengunjungi laman web tersebut pada hari pertama, diikuti dengan 1/5 daripada mereka pada hari kedua. Jumlah pengunjung menjunam pada hari berikutnya dengan kurang 10 peratus daripada jumlah 159,000 membaca perkongsian beliau. Sebulan kemudian, laman web tersebut ditutup.