Kini ramai dalam kesusahan gara-gara Covid-19 menyebabkan hilang motivasi diri. Disini ada 5 cara mencari motivasi ketika anda hidup susah. Anda boleh mengaplikasikannya tanpa perlu guna duit.

1. Imbas Kembali Pencapaian Terdahulu

Photo by Arina Wong on Unsplash

Ini cara mencari motivasi ketika hidup susah yang paling mudah iaitu mengimbas kembali pencapaian terdahulu.

Mungkin ada yang tidak setuju kerana seolah-olah membenarkan diri hidup dalam bayangan lalu kerana sepatutnya kita perlu fokus pada masa sekarang dan masa depan untuk bergerak ke hadapan.

Ya, benar. Cuma kaedah ini membolehkan anda stimulasi minda anda agar wujud rasa sedar diri bahawa anda hebat, anda pernah melakukan suatu yang membanggakan, anda pernah berjaya. Anda bukan seorang yang sukakan kekalahan dan kegagalan. Betul kan?

Ketika hidup susah anda cenderung untuk depresi, rasa lemah, rasa tidak berguna dan lain-lain. Apatah lagi anda rasa anda tidak lagi sibuk dan berbuat apa-apa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dengan mengimbas kembali pencapaian yang pernah dicapai oleh anda, ia akan membuatkan anda jadi lebih bersemangat dan bermotivasi bagi memerangi kehidupan susah ini.

Ia akan membuatkan anda mahu ada matlamat dan bergerak ke arah positif kerana anda tidak akan pernah lupa bahawa anda seorang pencapai kejayaan yang berani menghadapi cabaran bagi menjadikan matlamat anda itu satu realiti.

2. Kaji Semula Matlamat Anda Setiap Hari

Photo by Alexa Williams on Unsplash

Ini adalah cara kedua bagi mencari motivasi ketika hidup susah iaitu mengkaji semula matlamat anda setiap hari. Selepas anda yakinkan minda dan diri bahawa anda seorang pembina kejayaan, pasti anda akan merancang dan menetapkan apakah matlamat yang perlu dicapai ketika musim PKP ini.

Mempunyai matlamat besar itu adalah satu tindakan yang bijak. Lagi bijak apabila anda mengkaji semula matlamat anda setiap hari agar ia sentiasa di atas landasan yang betul dan boleh dicapai di alam realiti dengan mempertimbangkan faktor-faktor semasa yang boleh mempengaruhi matlamat besar anda itu.

Anda perlu realistik bahawa hidup ini pasti ada halangan yang muncul saat anda mahu mencapai sesuatu yang diimpikan. Oleh itu, anda perlu jadi fleksible orangnya. Boleh melentur ikut situasi semasa.

Selain itu, kaedah mengimbas kembali matlamat anda setiap hari ini boleh mengingatkan anda akan apa yang patut anda capai. Jadi, semangat yang luntur boleh dinaikkan semula dengan refleksi ini.

3. Kekal Sihat Dengan Senaman

Photo by Gabe Pierce on Unsplash

Kaedah ini mungkin nampak klise tapi anda tahu ada kebenarannya. Kekal sihat dan kesihatan yang baik adalah mahkota diri. Tanpa rasa sihat, agak mustahil untuk anda berbuat apa-apa.

Maka, untuk memastikan mental dan emosi stabil, anda mesti menjaga fizikal diri dengan melakukan senaman secara konsisten. Dengan memiliki tubuh badan yang sihat anda akan berasa lebih bertenaga dan bermotivasi.

Rancang kekerapan senaman anda dalam bentuk jadual mingguan atau bulanan. Pilih apa jua senaman dan waktu senaman yang sesuai dengan diri anda agar timbul rasa selesa dan tidak rasa terpaksa untuk bersenam. Lakukan senaman, pasti secara semulajadi anda akan rasa peningkatan motivasi.

4. Ambil Masa Untuk Menyegarkan Diri

Photo by Genessa Panainte on Unsplash

Setelah anda lakukan langkah 1, 2, dan 3, anda perlu ambil masa untuk menyegarkan diri. Tatkala anda mempunyai matlamat, bersemangat untuk mencapai kejayaan dan melakukan senaman secara konsisten pasti ada timbul rasa penat dalam diri.

Ia satu petanda amaran agar anda berhenti sebentar dan beri ganjaran pada diri. Dengan cara ini anda akan rasa seperti dicaj semula, jadi lebih dihargai dan bermotivasi tinggi.

Oleh itu, anda boleh masukkan kaedah keempat ini ke dalam jadual kehidupan anda agar membentuk rentak yang konsisten untuk menyegarkan diri bagi mengelakkan rasa tertekan dan kejenuhan.

5. Dikelilingi Orang Yang Bersifat Positif

Photo by Hannah Busing on Unsplash

Manusia mempunyai kecenderungan untuk terpengaruh dengan keadaan dan orang di sekeliling. Jadi, penting bagi anda untuk memastikan diri dikelilingi oleh orang-orang yang bersifat positif agar anda terus berada dalam aura positif. Ia seolah-olah memberikan anda tenaga positif apabila bersama dengan golongan ini.

Untuk menggunakan kaedah kelima ini, anda perlu menganalisis siapa orang di sekeliling anda. Anda akan melakukan tapisan untuk mengurangkan kehadiran mereka dalam kehidupan anda. Pada musim PKP ini ia akan jadi lebih mudah kerana kebanyakan masa anda akan bersosial melalui media sosial.

Tindakan anda ini juga perlu selari dengan matlamat dan nilai kehidupan anda agar anda tidak menjadi lagha dan terlupa akan tujuan hidup anda. Langkah ini agak kejam tetapi inilah yang terbaik buat anda supaya dijauhi dari perkara-perkara negatif sehingga menjejaskan motivasi anda.

Kesimpulan 5 Cara Mencari Motivasi

Baiklah, 5 cara mencari motivasi ketika anda hidup susah telah kami kongsikan dengan anda di sini. Semoga cara-cara ini dapat membantu anda meningkatkan motivasi supaya dapat menangani cabaran yang melintang dalam kehidupan anda kini.

Tolong berikan pendapat anda dengan kami apakah cara yang paling sesuai dengan anda dan kongsikan artikel ini di media sosial anda agar lebih ramai mendapat manfaatnya.