Seorang pakar Tai Chi ditumbuk keluar (knockout atau KO) oleh seorang peminat seni bela diri campuran (mixed martial art atau MMA) dalam satu perlawanan pertunjukan di Shandong, China.

Kejadian yang berlaku pada 17 Mei 2020 ini melibatkan pakar Tai Chi bernama Ma Baoguo, 69, dan seorang bekas jurulatih MMA berusia 50 tahun.

Ma Baoguo terkenal di China kerana keberaniannya mengkritik MMA dan atlet MMA. Beliau pernah memuat naik video kemenangan pertarungan beliau menentang juara MMA Eropah, Peter Irving. Video tersebut menjadi tular di China pada sekitar tahun 2016.

Pada tahun 2017, Ma Baoguo kemudiannya mencabar Xu Xiaodong; seorang atlet MMA yang juga terkenal di China. Xiaodong yang dikenali dengan gelaran ‘Anjing Gila’ terkenal kerana keberaniannya mencabar ‘pakar’ seni bela diri China yang palsu dan penipu.

Antara ‘pakar’ seni bela diri China yang dikritik oleh Xiaodong adalah Ma Baoguo yang mendakwa dirinya salah seorang daripada empat pakar tai chi di China.

Ma Baoguo pula membalas kritikan Xiaodong dengan menggelar ‘MMA adalah bodoh’ dan mencabar Xiaodong untuk berlawan. Xiaodong menerima cabaran tersebut.

Xu Xiaodong (kiri) bersiap sedia bertarung dengan Ma Baoguo (kanan), pakar seni tai chi di Shanghai sebelum polis menutup pertarungan mereka pada Jun 2017. Foto: Imaginechina via AFP

Bagaimanapun hasrat peminat Tai Chi dan MMA untuk melihat pertarungan tersebutr tidak kesampaian kerana polis membatalkannya sebelum ia bermula.

Kemudian apabila Zhang Weili menewaskan Jessica Andrade untuk muncul sebagai juara MMA dari China yang pertama, Ma Baoguo sekali lagi bercakap sombong.

“Saya boleh kalahkan dia [Zhang Weili] tanpa keluarkan peluh pun.”

Cabar MMA lagi

Pada 17 Mei lepas, Ma Baoguo mencabar MMA sekali lagi. Kali ini dia mencabar seorang jurulatih MMA berusia 50 tahun. Pertarungan pertunjukan ini diadakan di Shandong.

Sebelum pertarungan tersebut, Ma Baoguo dilaporkan memberi amaran kepada pengadil bahawa dia menjangkakan pertarungan tersebut akan dimenanginya dan ‘akan menjadi berat sebelah’.

Pengadil dapat dilihat, dalam sebuah video yang tular di China, merayu kepada Ma Baoguo supaya menunjukkan belas kasihan kepada lawannya sebelum memberitahu sebanyak tiga kali:

“Saya cuma ada satu syarat. Bila saya kata berhenti, kamu kena berhenti. Kamu tak boleh terus pukul dia.”

Ma Baoguo membalas dengan berkata:

“Saya takut rutin [tai chi] saya akan mencederakan dia dan awak.”

Tetapi sebaliknya yang berlaku.

Peminat MMA tersebut berjaya menumbangkan Ma Baoguo sebanyak dua kali sebelum menumbuk KO. Semuanya berlaku dalam masa hanya 30 saat. Tok guru Tai Chi itu pengsan akibat tumbukan tersebut dan terpaksa dikejarkan ke hospital.

Anda boleh tonton video pertarungan tersebut di bawah:

“Saya menang”

Ma Baoguo dilaporkan stabil dan telah dikeluarkan dari hospital. Jika kecederaan itu disangka akan merendahkan ego Ma Baoguo, sebaliknya pula berlaku.

Ini kerana Ma Baoguo mendakwa dia menang dalam pertarungan itu. Dia mendakwa dia sengaja menghentikan perlawanan sebelum dapat mematahkan hidung lawannya.

Ini muka Ma Baoguo ketika membuat kenyataan beliau ‘menang’:

“Padan muka dia”

Susulan insiden Ma Baoguo ditumbangkan dalam masa 30 saat di Shandong itu, Xu Xiaodong tidak mengambil masa lama untuk mengejek.

“Selama tiga tahun, orang kata saya belot,” tulis Xiaodong. “Inilah dia penipu seni tai chi. Sekarang kita dah nampak kebenarannya. Saya betul!”

Xiaodong turut memberitahu buat pertama kalinya punca utama mengapa pertarungan mereka pada 2017 terpaksa dibatalkan.

“Pada tahun 2017, dia cabar saya bertarung selepas dia kalahkan juara MMA Eropah. Padahal dia sebenarnya bayar Irving untuk kalah. Saya pula baru kalahkan pakar Tai Chi, Lei Lei.

“Tapi sebelum pertarungan bermula, dia telefon polis. Saya kemudiannya ditahan oleh polis atas dakwaan menganjurkan pertarungan tak berlesen.

Susulan kejadian tersebut, Xiaodong dilaporkan telah diharamkan oleh kerajaan untuk muncul di media tempatan kerana ‘mencabar seni bela diri tradisional’.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber: