Seorang pemilik restoran mee di China ditahan polis selepas mengaku meletak candu dalam mee untuk membuatkan pelanggannya ketagih dan kerap mengunjungi restorannya.
Penggunaan dadah dalam makanan di restoran di Yan’an, Shaanxi itu terdedah selepas salah seorang pelanggannya, Liu Juyou diuji positif dalam ujian air kencing polis trafik – walaupun dia tak pernah menyentuh dadah.
Juyou mengesyaki dadah tersebut mungkin datang dari mee yang dimakannya di restoran tertuduh beberapa jam sebelum ujian air kencing tersebut. Jadi dia meminta ahli keluarganya yang turut makan mee restoran tersebut untuk membuat ujian air kencing.
Tak menghairankan, kesemua mereka diuji positif dadah.
Pemilik restoran tersebut yang hanya dikenali sebagai Zhang mengaku salah atas kesalahan tersebut.
Menurut polis, Zhang membeli 2kg bunga popi – yang mengandungi biji popi – pada harga RM437. Biji popi tersebut dikisar halus menjadi serbuk halus candu sebelum ditambah dalam adunan tepung mee.
Menurut laporan media, biji popi mengandungi candu yang boleh menyebabkan ketagihan kepada pengguna dan sekaligus membuatkan ujian air kencing menjadi positif.
Sebagai rekod, penggunaan serbuk biji popi pernah menjadi bahan popular dalam sos masakan claypot China sehinggalan penggunaannya diharamkan oleh kerajaan China.
Apa itu candu?
Candu merupakan dadah yang menghasilkan kesan sama seperti dadah morfin. Pada zaman dahulu kala, ia kerap digunakan sebagai bahan bius dalam pembedahan atau rawatan kesakitan.
Bagaimanapun kesan sampingan penggunaan candu menyebabkan ketagihan, gatal-gatal, muntah, sembelit dan khayal kepada penggunanya. Penggunaan jangka masa panjang boleh menyebabkan badan menjadi toleran terhadap candu. Jadi untuk mengatasi ketagihan, pengguna perlu menaikkan dos candu.
Kegunaan dadah untuk tujuan riadah bermula dalam sejarah China pada kurun ke-15 pada skop yang terhad kerana bahan tersebut sukar didapati serta mahal.
Perdagangan candu menjadi lebih biasa pada kurun ke-17 apabila ia dicampur dengan tembakau untuk tujuan merokok, dan ketagihan mula dikenal pasti. Ia terus disalahgunakan di seluruh Asia sehinggalah awal abad ke-19.
Candu merupakan dadah diharamkan dalam kebanyakan negeri semasa awal kurun ke-20, mendorong kepada pola penghasilan candu moden sebagai dadah untuk diedar.
Pengeluaran candu haram yang kini dikuasai oleh Afghanistan telah meningkat secara tetap di tahun kebelakangan kepada 6,600 tan setahun.