Parlimen Eropah (Europarl, EP) semalam bersetuju untuk memulakan penggubalan undang-undang yang bakal mewajibkan semua peranti mudah alih (mobile devices) memakai pengecas universal (universal charger). Penggubalan ini akan dimulakan pada Jun 2020.
Usul yang dibentangkan di Parlimen Eropah itu mendapat 582 undi setuju berbanding 40 undi tak setuju.
Penggubalan undang-undang ini akan memaksa Apple – yang ketika ini masih lagi menggunakan kabel lightning untuk iPhone – untuk memasang pengecas universal di semua peranti mudah alihnya Eropah.
Dijangka pengecas universal yang bakal digunakan di semua peranti mudah alih di Eropah adalah USB Type C (USB-C).
Parlimen Eropah memulakan proses awal penggubalan undang-undang ini supaya dapat mencapai matlamatnya untuk mengurangkan sampah elektronik yang disebabkan oleh penggunaan pelbagai jenis pegecas peranti mudah alih. Selain itu, Parlimen Eropah juga melihatnya sebagai langkah yang memberi pengguna Eropah pilihan yang mampan.
Berdasarkan data pada 2016, Eropah menghasilkan 12.3 juta tan sampah elektronik secara keseluruhan. Ia bersamaan dengan 16.6 kg per individu di Eropah.
Parlimen Eropah berpendapat pengenalan undang-undang baru ini dapat mewujudkan situasi di mana pengguna tidak perlu membeli banyak pengecas untuk peranti berlainan model. Kurang pengecas, kuranglah sampahnya.
Usaha terakhir Eropah untuk mengurangkan sampah elektronik ini digubal kali terakhir pada 2014. Ia menggalakkan sektor elektronik untuk fokus kepada penghubung micro-USB. Tetapi Apple terus menggunakan penghubung Lightning mereka sendiri.
Memandangkan impak ekonomi di Eropah terlalu besar untuk diabaikan Apple, dijangka ia akan memperkenalkan standard pengecas universal untuk seluruh dunia – iaitu iPhone menggunakan pengecas USB Type C.