Pelakon jelita, Nasha Aziz mendedahkan bahawa dirinya tidak pernah menutup pintu hati buat sang lelaki dan percaya terdapat hikmah berhubung jodohnya yang masih belum kunjung tiba sehingga ke hari ini.
Menurut sumber Berita Harian Online, Nasha atau nama penuhnya, Noraishah Abdul Aziz yang bakal menjengah usia 49 tahun pada 14 Mei nanti tanpa berselindung menyerahkan segalanya kepada kekuasaan Allah walaupun sekiranya status itu kekal hingga hujung nyawanya.
“Allahuakbar. Saya serahkan pada kuasa Allah, jika ada yang melamar ketika ini. Sebaik-baiknya perancangan adalah Allah.”
“Kepada-Nya juga saya serahkan jodoh dan pertemuan yang bersesuaian. Sejujurnya, saya tidak pernah menutup pintu hati buat lelaki selama ini, cuma tiada jodoh serasi.”
“Saya tidak mampu soal meramalkannya. Andai tidak bertemu jodoh hingga nafas terakhir, saya redha dengan ketentuan takdir yang tertulis,” ujar Nasha Aziz kepada wartawan BH Online.
Dalam pada itu meskipun tidak menikmati kehidupan berkeluarga seperti kebanyakkan wanita lain, Nasha bersyukur kerana beliau dapat menjaga ibu kandung dan ibu angkatnya yang kini semakin dimamah usia.
“Allah mahu memberikan sesuatu yang lebih istimewa apabila saya menjaga ibu kandung dan ibu angkat yang kini hidup sendirian. Nikmat ini lebih besar daripada segala-galanya.”
“Saya tidak sesekali melepaskan tanggungjawab sebagai anak, apatah lagi saya satu-satunya anak yang belum mendirikan rumah tangga.”
“Saya tidak pernah menganggap bebanan, sebaliknya saya bersyukur diberikan peluang berbakti dan menjaga kedua-dua ibu hingga akhir hayat. Ada anak-anak yang terlepas nikmat menjaga ibu bapa mereka,” ujar Nasha lagi.
Nasha Aziz sebelum ini pernah bertunang dengan Pengarah Fotografi, Helmi Mohd. Yusof pada 4 Jun 2006, namun ikatan tersebut dikatakan terhenti sekitar Januari 2007.
Kredit foto: Yahoo News