Selepas berehat hampir 15 tahun daripada ‘pertempuran’, petinju legenda, Mike Tyson bakal membuat penampilan semula di gelanggang tinju pada 12 September apabila beliau akan menentang Roy Jones Jr di California.
Kali terakhir beliau beradu kekuatan di peringkat profesional adalah ketika bertemu Kevin McBride yang mana Tyson tewas pada pertemuan tersebut manakala Jones Jr pula ‘menggantung’ sarung tangannya pada Februari 2018.
Meskipun sudah lama tidak beraksi, Tyson yang turut dikenali sebagai ‘The Baddest Man on the Planet’ dilihat masih mengekalkan kecergasan dan keadaan fizikal di tahap terbaik walaupun usianya menjengah 54 tahun.
Pertembungan epik yang turut digelar sebagai ‘The Frontline Battle’ itu bakal menyaksikan kedua-dua petinju memerlukan kerja keras dalam memberikan saingan sengit.
Tyson mungkin akan berdepan sedikit kesukaran memandangkan Jones Jr yang berusia 51 tahun baharu sahaja meninggalkan arena tinju profesional kira-kira dua tahun lalu.
#TysonJones pic.twitter.com/q1BrJk82hU
— Mike Tyson (@MikeTyson) August 6, 2020
Jika disingkap statistik peribadi bagi kedua-dua petinju, Roy Jones Jr mempunyai kelebihan berikutan rekod 66 kemenangan, 47 knockout dan hanya sembilan kekalahan daripada 75 perlawanan.
Manakala Tyson pula mencatatkan 50 kemenangan, 44 knockout dan enam kekalahan daripada 58 pertarungan. Sudah pasti insidennya ketika bertemu Evander Holyfield pada tahun 1997 akan sentiasa dikenang.
‘Iron Mike’ sebelum ini melakar sejarah bergelar petinju termuda di dunia memenangi kejuaraan Heavyweight pada tahun 1986 yang mana pada ketika itu beliau baharu sahaja berusia 20 tahun.
Pada ketika itu juga, beliau dilabel sebagai antara petinju yang amat ditakuti dalam arena tinju dunia. Namun, sayangnya karier Tyson sedikit tercalar berikutan beberapa kontroversi yang melanda dirinya.
Kredit featured image: Facebook Mike Tyson