Sky VR di Resorts World Genting merupakan pengalaman baru dan unik yang mesti anda cuba ketika bercuti di Genting Highlands.
Jika anda takut untuk mencuba sukan esktrim luncur angin (paragliding) contohnya, anda boleh mendapatkan pengalaman sama dengan selamat dengan di Sky VR, Resorts World Genting.
Ia bukan lagi mustahil buat si ‘penakut’ sukan ekstrim berkenaan. Ini kerana mereka boleh merasai sendiri apa yang peluncur angin lalui sendiri menerusi permainan SkyGlider yang ditawarkan di Sky VR.
Sebelum mencuba SkyGlider, anda akan diberi taklimat ringkas dahulu. Kemudian barulah anda boleh duduk di kerusi yang lengkap dengan peralatan mengawal pergerakan ‘payung’ serta diberikan topeng mata untuk melihat visual.
Anda akan dapati pengalaman sama seperti peluncur angin sebenar menerusi sistem bunyi yang padu, visual pandangan mata yang sempurna serta kesan angin yang memukul tubuh ketika sedang terbang.
Walaupun pemandangan hanyalah visual semata-mata, anda tidak akan dapat lari dari rasa gerun, ngilu dan berdebar. Takut juga ada kerana perlu mengawal pergerakan ‘payung’ turun, naik, kiri dan kanan bagi menempuh sasaran gegelung berwarna untuk mengumpul markah.
Dalam percubaan pertama, anda boleh mencuba bermain pada tahap permulaan dahulu. Apabila sudah yakin, anda boleh mencuba tahap berikut iaitu pertengahan dan lanjutan (ekstrim).
SkyGlider adalah salah satu bahagian di dalam Sky VR yang boleh dinikmati ketika berkunjung ke Taman Tema Tertutup Skytropolis (Skytropolis Indoor Theme Park).
Sky VR ialah satu bahagian di dalam taman tema berkenaan yang dikhaskan untuk permainan realiti maya yang paling menarik dan menyeronokkan di dunia.
Ia membawa pengunjung meneroka ke alam maya yang melangkaui imaginasi seseorang.
Sky VR Genting tawar lima pengalaman unik
Selain permainan SkyGlider, Sky VR turut menawarkan empat lagi pengalaman menakjubkan iaitu VirtuGlobe, XD Theater, Vortex dan RoboCoaster.
Bagi yang tidak pernah merasai suasana mendamaikan dan tenang berada di dasar laut sambil menyaksikan ikan paus serta hidupan laut berenang di depan mata, boleh merasai pengalaman itu menerusi permainan VirtuGlobe.
Pengunjung seisi keluarga juga boleh mencuba XD Theatre iaitu permainan berasaskan simulator pelbagai sensor yang membawa pengalaman interaktif ke satu dunia baru seperti berada di alam lanun yang penuh dengan raksasa ganas.
Di dalam sebuah bilik, permainan itu boleh menampung seramai 32 pengunjung pada satu masa yang mana semua peserta perlu bekerjasama menangkis serangan dengan menembak penjahat.
Biarpun penjahat musnah, namun peserta perlu berlumba-lumba menembak sasaran untuk memungut markah tinggi.
Ternyata, kesemua permainan yang ditawarkan SkyVR memberi pengalaman yang menakjubkan. Tidak perlu menjadi penerjun, penyelam mahupun tentera, dengan hanya kuasa VR, bagaikan pengalaman realiti yang menghiburkan seisi keluarga.
Maklumat lanjut
Pilihan pengalaman | 1) XD Theater: menawarkan misi permainan realiti maya menerusi teater VR terbesar di Malaysia 2) VirtuGlobe: menawarkan pengalaman realiti maya ke dunia misteri 3) RoboCoaster: menawarkan pengalaman dibawa terbang oleh robot yang beraksi dalam misi cabaran yang penuh aksi 4) VORTEX: menawarkan pengalaman menempuh misi realiti maya di dimensi lain 5) SkyGlider: menawarkan pengalaman meluncur angin pada ketinggian ekstrim |
Syarat tinggi & berat peserta | 1) XD Theater: ketinggian atas 90cm 2) VirtuGlobe: ketinggian antara 130cm-200cm, berat antara 35kg-130kg 3) RoboCoaster: ketinggian antara 130cm-190cm 4) VORTEX: ketinggian antara 100cm-195cm 5) SkyGlider: ketinggian antara 110cm-190cm, berat kurang 150kg |
Lokasi | Aras 2, Skytropolis Indoor Theme Park, Genting Highlands |
Waktu operasi | Setiap hari, 10 pagi – 10 malam |
Bayaran | RM80 (Pas tanpa had ke Skytropolis Indoor Theme Park, 1 kali main di Sky VR) |