Terdapat makanan yang dilabel dengan tarikh luput bagi menggambarkan tarikh akhir ia sesuai untuk dimakan. Ada juga makanan yang dilabel dengan menggunakan terma guna sebelum dan dijual sebelum. Ini menyebabkan pengguna seringkali keliru dengan perbezaan antara pelbagai terma ini.
Sebenarnya, setiap frasa berikut mempunyai perbezaan dan kebanyakan daripadanya adalah amaran berkenaan kualiti makanan, bukannya amaran keselamatan. Ini juga menyebabkan berlakunya pembaziran apabila makanan yang masih boleh dimakan terbuang dek kerana tersalah membaca label.
Tahukah anda, apa sahaja label pada makanan hendaklah mematuhi semua undang-undang berkaitan pelabelan makanan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Label ini bertujuan untuk membekalkan maklumat yang betul dan jelas tentang sesuatu produk makanan.
Ini maksud sebenar ketiga-tiga terma tersebut.
Label ‘tarikh luput’ pada makanan
Secara umumnya, tarikh luput berfungsi untuk memberitahu tempoh masa bagi menjamin kesegaran sesuatu makanan. Terdapat makanan yang masih dalam keadaan baik, walaupun sudah melepasi tarikh luput. Ianya masih boleh dimakan, tetapi kualiti rasa tersebut mungkin sudah berbeza berbanding sewaktu mula-mula dibeli.
Cara terbaik untuk mengenal pasti sekiranya sesuatu makanan itu masih selamat atau tidak adalah dengan menggunakan deria bau dan rasa anda. Makanan tamat tarikh luput atau telah rosak akan mempunyai tekstur, warna, bau dan rasa yang berbeza. Sekiranya terdapat ciri-ciri luaran seperti kulat, bau yang tengik dan rasa yang tidak menyenangkan, makanan tersebut perlu dibuang.
Contoh makanan dengan label ini adalah seperti bijirin dan keju.
Label ‘guna sebelum’ pada makanan
Label ini pula bermaksud kualiti makanan sudah berkurangan selepas dari tarikh tersebut. Biarpun makanan tersebut disimpan mengikut syarat penyimpanan pada label makanan, ia masih mampu menjejaskan kualiti makanan terbabit.
Dalam masa yang sama, makanan tersebut akan mula menunjukkan ciri seperti berkulat, tengik, masam atau basi. Selalunya guna sebelum ini dilabel bagi jenis makanan tertentu yang mudah rosak seperti produk telur, susu dan yogurt.
Makanan yang telah sampai tempoh akhir tarikhnya ini sememangnya tidak dibenarkan untuk dimakan kerana boleh menimbulkan masalah kesihatan. Ia juga tidak lagi dibenarkan untuk dijual atau dipamerkan di rak-rak jualan.
Label ‘dijual sebelum’ pada makanan
Selain itu juga, terdapat makanan dengan label dijual sebelum dengan tarikhnya. Ini pula merupakan tarikh yang ditetapkan oleh pengeluar kepada peruncit, berkenaan tarikh produk tersebut perlu dikeluarkan daripada rak jualan.
Ini adalah untuk memastikan agar pengguna mendapat produk dengan kualiti terbaik selepas pembelian dibuat.