Sekitar tahun 2017, kita diperkenalkan dengan teknologi fermentasi daging burger oleh Impossible Burger. Daging burger tersebut mempunyai tekstur, rasa dan bau yang sama dengan daging burger di luar.

Cuma, daging tersebut tidak dihasilkan dari mana-mana lembu. Ia merupakan sebahagian daripada ciptaan saintis dengan menggunakan pokok kacang soya dan yis ciptaan.

Teknologi fermentasi makanan nampaknya berkembang dengan lebih jauh lagi pada tahun 2021.

Fermentasi makanan tradisional Melayu

Kredit gambar: http://naeltrg.blogspot.com/2010/08/tapai-pulut-daun-getah.html

Tentu sekali anda pernah makan tapai. Tapai merupakan contoh mudah bagi menerangkan tentang apa itu fermentasi. 

Tapai biasanya dihasilkan dari proses fermentasi makanan yang mempunyai nilai karbohidrat yang tinggi seperti beras, pulut dan ubi. Proses fermentasi didorong oleh mikroorganisma yang terkandung dalam ragi. Biasanya ragi yang digunakan dalam proses membuat tapai mengandungi kepelbagaian mikroorganisma.

Proses fermentasi sebenarnya menambahkan lagi kandungan nutrien di dalam makanan. Kehadiran mikroorganisma di dalam tapai tidak merbahaya malah ia boleh dicerna melalui sistem penghadaman kita. Sebagai contoh, kandungan Vitamin B kompleks meningkat sehingga tiga kali ganda selepas proses penapaian.

Fermentasi makanan moden

Kredit gambar: https://www.inc.com/joshua-spodek/the-impossible-burger-more-revolutionary-meatier-than-i-thought.html

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, permintaan terhadap pengganti kepada makanan ruji manusia semakin meningkat. Ketidakstabilan nilai matawang, isu tarif import eksport, isu kesihatan dan sekatan antarabangsa sebenarnya menyumbang kepada permintaan ini.

Makanan ruji seperti daging dan telur mula mendapat tempat dalam kalangan saintis di dalam bidang teknologi fermentasi. Seperti yang disebut sebelum ini, Impossible Burger telah berjaya menghasilkan burger daging lembu yang bukan berasal dari binatang tersebut.

Begitu juga dengan Clara Food yang kini berupaya menghasilkan telur yang dikatakan jauh lebih berkualiti berbanding telur ayam. Clara Food menjangkakan syarikat mereka akan menguasai pasaran protien telur dunia menjelang tahun 2028.

Madu dari makmal MeliBio

Kredit gambar: https://www.fastcompany.com/90565797/this-honey-is-real-but-it-wasnt-made-by-bees

Sebuah syarikat start up dari United Kingdom kini telahpun berjaya menghasilkan madu dari teknologi yang sama. MeliBio mengadaptasi proses sama yang dilakukan oleh lebah; menggunakan mikroorganisma untuk mengutip polen dan nektar lalu menghasilkan madu. Kesemua proses ini berjalan di dalam makmal MeliBio.

Setakat ini, sudah 15 buah syarikat dari Amerika Syarikat menyatakan minat mereka untuk membeli madu ini. MeliBio menjangkakan madu ciptaannya boleh mula dijual pada penghujung tahun ini.

Tahukah anda, hanya 1/3 daripada keseluruhan pengeluaran madu di seluruh dunia dimakan secara mentah, manakala bakinya digunakan sebagai kadungan kepada ubat-ubatan, barangan kosmetik, air minuman dan juga makanan.

Susu yang dihasilkan oleh Better Dairy

Kredit gambar: https://techcrunch.com/2020/12/17/better-dairy/

“Produk kami memiliki molekul yang sama dengan susu yang biasa anda minum, cuma dihasilkan tanpa lembu”.

Sebanyak RM9,065,000 dana permulaan berjaya diraih oleh syarikat Better Dairy pada tahun 2020. Syarikat ini sedang berada di dalam fasa kajian dan pembangunan untuk mengkormersilkan susu ini seawal tahun 2022.

Di dalam kajian mereka, yis akan difermentasi dan menghasilkan produk tenusu daripada proses tersebut. Walaupun masih terlalu awal di dalam fasa kajian, Better Dairy sebenarnya sudah berjaya mencipta sampel susu pertama buatan makmal mereka. 

Seperti telur, susu juga merupakan sumber protien yang mudah didapati dengan harga yang amat murah. Maka, susu ciptaan mereka haruslah efisyen dari sudut kos dan harga jualannya agar benar-benar dapat menembusi pasaran produk tenusu dunia yang dianggarkan bernilai RM2.89 trillion.

 

Sumber: