Baru-baru ini, kita didedahkan dengan terma kesihatan yang disebut sebagai Long Covid ataupun Sindrom Post Covid. Keadaan ini merupakan keadaan kesihatan di mana bekas pesakit Covid-19 masih mengalami beberapa simptom, biarpun telah disahkan pulih dari wabak Covid-19.

Pada hari ini, kita telahpun maklum tentang simptom jangkitan Covid-19 namun masih ramai yang tidak mengetahui sebenarnya terdapat simptom susulan bagi pesakit yang sudah sembuh. Simptom susulan selepas sembuh Covid-19 atau dikenali sebagai Long Covid ini juga merupakan salah satu perkara yang perlu penelitian kerana ia akan beri kesan kepada kesihatan seseorang individu sekiranya tidak menerima rawatan sewajarnya.

Contoh gejala Long Covid terhadap pesakit yang sembuh Covid-19

Kredit gambar: https://www.itv.com/news/2020-10-15/long-covid-could-be-four-different-syndromes-academics

Gejala Long Covid biasanya dapat diketahui apabila pesakit yang telahpun pulih daripada Covid-19 tetapi masih menunjukkan gejala bagi tempoh lebih 12 minggu. Menurut laporan perubatan, keadaan ini berpunca daripada komplikasi jangkitan Covid-19 terhadap fungsi organ dalam tubuh badan pesakit.

Antara simptom yang kerap dialami menurut kajian oleh United States Centers for Disease Control and Prevention (CDC) adalah seperti berikut:

  1. Keletihan atau kelesuan
  2. Kesukaran untuk menumpukan perhatian
  3. Sakit kepala
  4. Hilang deria bau atau deria rasa
  5. Pening sewaktu berdiri
  6. Degupan jantung yang laju
  7. Sakit dada
  8. Kesukaran untuk bernafas ataupun nafas yang pendek
  9. Batuk
  10. Sakit sendi atau sakit otot
  11. Kemurungan ataupun rasa resah
  12. Demam

Simptom akan dilihat menjadi semakin serius selepas menjalani aktiviti fizikal. Menurut laporan CDC lagi, Long Covid boleh terjadi kepada bekas pesakit Covid-19, biarpun sewaktu dijangkiti dahulu pesakit hanya mempunyai simptom yang ringan ataupun langsung tidak mempunyai apa apa simptom. Penghidap Long Covid juga dilaporkan mempunyai kombinasi gejala yang berbeza-beza.

66 peratus bekas pesakit kategori 4, 5 alami Long Covid

Kredit gambar: https://www.theedgemarkets.com/article/msians-should-take-heed-covid19-tsunami-india-avoid-similar-situation-%E2%80%94-health-dg

Dilaporkan seramai 66 peratus daripada bekas pesakit Covid-19 mengalami Long Covid di Malaysia. Menurut kajian klinikal yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap seramai 1,004 pesakit kategori 4 dan 5 yang menerima rawatan susulan menunjukkan bahawa mereka mengalami symptom yang dikaitkan dengan Long Covid.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Seri Dr Noor Hisham Abdullah, sindrom itu membabitkan suatu keadaan apabila bekas pesakit Covid-19 masih menunjukkan gejala bagi tempoh 12 minggu atau lebih dan gejala itu tidak dapat dijelaskan dengan sebarang diagnosis alternatif. Tambah beliau, secara amnya data klinikal menunjukkan majoriti pesakit Covid-19 di Malaysia mampu sembuh sepenuhnya.

Bagaimanapun, terdapat segelintir yang terkesan dengan Sindrom Post Covid atau Long Covid ini. Antara lima simptom yang kerap dialami oleh bekas pesakit Covid-19 di Malaysia adalah kelesuan, kesukaran bernafas apabila melakukan aktiviti, sukar tidur malam, batuk dan kegelisahan.

Sehingga kini, rawatan yang ditawarkan berdasarkan simptom yang dipamerkan pesakit dan fungsi tubuh yang terbabit dan pesakit dirujukkan kepada bidang kepakaran berkaitan bagi memastikan mereka mendapat rawatan klinikal yang optimum. KKM dilaporkan akan terus menjalankan kajian klinikal bagi memahami dan mengenal pasti kesan Sindrom Post Covid dan maklumat mengenainya akan dimaklumkan kepada masyarakat dari semasa ke semasa.

Bekas pesakit Covid-19 yang didiscaj dari hospital akan diberikan janji temu rawatan susulan, manakala bekas pesakit Covid-19 yang masih mempunyai gejala dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat perubatan dan rawatan di klinik atau hospital berhampiran. Ini penting bagi mengekalkan tahap kesihatan bekas pesakit Covid-19 pada tahap terbaik dan mengurangkan sebarang komplikasi jangka panjang.

Apa selepas Long Covid?

Kredit gambar: https://www.locktoninternational.com/gb/articles/long-covid-and-its-expected-impact-insurance-protection

Pengambilan vaksin adalah penting bagi setiap bekas pesakit Covid-19 supaya antibodi mereka bertahan lebih lama menentang wabak itu. Biarpun terdapat kajian yang menunjukkan seseorang bekas pesakit Covid-19 boleh bertahan terhadap virus selama enam bulan, namun pengambilan vaksin akan memanjangkan lagi dan tingkatkan imuniti badan mereka untuk cegah jangkitan dan kurangkan simptom kronik.

Trades Union Congress (TUC) di United Kingdom pula membincangkan agar Long Covid dimasukkan di dalam senarai kelainan upaya di negara terbabit. Ini bagi memastikan mereka yang menghidap Long Covid mempunyai hak dari sudut perundangan untuk mengelakkan dari sebarang diskriminasi di tempat kerja.