Sehingga 10 Mac 2022, sebanyak 183 perlawanan telah dilalui Eric ten Hag bersama Ajax Amsterdam. Daripada jumlah tersebut, ia membawa kepada 134 kemenangan, 24 seri dan 25 kekalahan.
Secara puratanya, ia merupakan rekod yang cemerlang dengan peratusan 73.2 kemenangan. Rekod menunjukkan bahawa ten Hag membawa pulang secara purata 2.3 mata bagi setiap perlawanan yang dihadapinya sebagai pengurus Ajax.
Dua kejuaraan Eredevisie (liga perdana Belanda) secara berturut-turut di dalam tangan. Kini dengan kelebihan empat mata dengan baki empat perlawanan, Ajax dilihat sebagai pasukan pilihan bagi menjuarai Eredivise musim 2021-2022.
Untuk saingan di Liga Juara-Juara Eropah pula, ten Hag pernah membawa Ajax ke separuh akhir pada musim 2018/2019. Ketika itu, mereka berjaya menewaskan pencabar sukar seperti Juventus dan Real Madrid untuk sampai ke tahap tersebut.
Maka, di atas kertas nampaknya ten Hag adalah calon pilihan yang cocok dengan Manchester United. Namun, rekod cemerlang sahaja tidak memadai.
Siapakah gerangan Eric ten Hag?
Penyokong United sudah melihat sendiri bagaimana pengurus berwibawa seperti Louis van Gaal dan Jose Mourinho menghantui mereka. Begitu juga dengan pengurus berpengalaman seperti David Moyes dan Ole Gunnar Solskjaer.
Lantikan demi lantikan ini gagal memberikan tonik buat pasukan mereka. Ini belum lagi dikira RM240 juta yang dibelanjakan hanya untuk memecat pengurus-pengurus tersebut. Jumlah wang yang dibazirkan itu sepatutnya digunakan oleh pasukan untuk membeli pemain prolifik.
Erik ten Hag merupakan bekas pemain Belanda yang bermain di posisi pertahanan tengah. Mula bermain bersama kelab Twente pada tahun 1989, ten Hag mengakhiri kariernya bersama kelab yang sama pada tahun 2002. Antara kelab yang diwakilinya termasuklah De Graafschap, RKC Waalwijk dan Utrecht.
Atas jemputan lagenda Belanda Marc Overmars, ten Hag memulakan kerjaya sebagai pengurus di Go Ahead Eagles pada tahun 2012. Hanya semusim bersama Go Ahead Eagles, ten Hag membawa pasukan itu layak ke saingan Evedivise.
Bagi musim 2013-14 dan 2014-15, ten Hag merupakan jurulatih pasukan Bayern Munich II. Ketika itu, Pep Guardiola merupakan pengurus pasukan Bayern Munich.
Musim berikutnya, ten Hag kembali ke saingan Eredivise. Dilantik sebagai jurulatih dan pengarah teknikal bagi FC Utrecht, musim 2015-16 berakhir dengan kedudukan kelima. Untuk musim 2016-17, FC Utrecht berjaya menamatkan saingan di tempat keempat dan layak ke saingan Europa League.
Eric ten Hag kemudiannya dilamar oleh Ajax pada Disember 2017.
Bersama Ajax AmsterdamÂ
Pemecatan Marcel Keizer selepas hanya separuh musim bersama Ajax membuka pintu kepada Eric ten Hag. Pada musim pertamanya, ten Hag mengemudi Ajax kekal di tangga kedua dengan perbezaan empat mata berbanding PSV.
Tidak lama menunggu, ten Hag menemui sentuhan juara Ajax. Piala pertama yang didakapnya ialah 2018–19 KNVB Cup. Bagi saingan Eredivise musim 2018-19, ten Hag membawa Ajax ke puncak Eredivise. Lima kememangan dalam lima perlawanan terakhir mengesahkan mereka sebagai juara.
Untuk musim 2019-20 pula, ten Hag dianggap kurang bernasib baik apabila Evedivise tidak disambung semula akibat pandemik Covid-19. Saingan bagaimanapun berakhir dengan Ajax menerajui liga dengan kelebihan gol selepas 25 perlawanan.
Kejuaraan KNVB Cup bagi tahun 2021 juga dimenangi oleh ten Hag. Ia merupakan rekod Belanda bagi Ajax dengan 20 kejuaraan. Bagi musim Eredivise 2020-21 pula, Ajax menjuarainya dengan penuh gaya. Mereka meninggalkan PSV di tangga kedua dengan kelebihan 16 mata.