Gergasi farmaseutikal Johnson & Johnson merupakan syarikat ke-36 yang terbesar di Amerika Syarikat. Syarikat ini diasaskan pada tahun 1886 oleh tiga adik beradik, Robert Johnson, James Johnson dan Edward Johnson.
Pada mulanya, fokus perniagaan mereka tertumpu kepada penghasilan pembalut pembedahan dengan antiseptik. Menggunakan tandatangan James Wood Johnson, logo syarikat tersebut kekal seperti hari ini.
Pada tahun 2021, Johnson & Johnson mencatatkan jualan tertinggi sebanyak $93.7 bilion. Ia merupakan peningkatan yang tinggi berbanding $82.5 bilion yang dicatatkan pada tahun 2020 dan $82.0 bilion pada tahun 2019.
Disebalik kejayaan yang dikecapi oleh syarikat farmaseutikal ini, mereka turut terpalit dengan pelbagai kontroversi. Antaranya ialah kandungan asbestos yang berbahaya di dalam bedak bayi keluaran mereka.
Asbestos dalam bedak bayi Johnson ini mampu menjadi punca kepada berlakunya kanser ovari.
‘Selamat untuk bayi’
Ketika membuka Johnson & Johnson, misi Robert Johnson ialah membina sebuah syarikat dengan motto “Safety First”. Bedak bayi mereka hadir disebalik penjualan plaster perubatan dan peralatan hospital yang lain.
Apabila penggunaan plaster tersebut membawa kepada kegatalan pada kulit, Johnson & Johnson memberi bedak secara percuma. Maka, ibu-ibu di Amerika Syarikat mula menggunakan bedak yang sama bagi masalah kegatalan kulit bayi mereka akibat penggunaan lampin. Daripada itu lahirlah Johnson’s Baby Powder pada tahun 1893.
Bedak bayi ini sebenarnya lebih banyak digunakan sepanjang hayat. Ini bermaksud, anak-anak yang terbiasa dengannya akan terus menggunakan bedak Johnson.
Pada tahun 2017, laporan Johnson & Johnson menunjukkan 70 peratus pengguna bedak ini adalah orang dewasa. Pengguna wanita banyak menggunakan bedak ini untuk tujuan kebersihan dan keselesaan mereka.
Darlene Coker merupakan antara pesakit kanser terawal yang menyedari tentang asbestos di dalam bedak tersebut. Malangnya, pada tahun 1999, Johnson & Johnson berjaya menolak permohonan peguam Darlene untuk memberikan maklumat dalaman syarikat.
Maka, Darlene tidak berjaya untuk meneruskan samannya.
34,000 saman setakat Februari 2022
Bermula dari tahun 2016, roh Darlene Coker mula menghantui kembali syarikat Johnson & Johnson. Keluarga Jacqueline Fox berjaya dalam saman mereka terhadap syarikat tersebut atas sebab yang sama, dengan menerima pampasan berjumlah $72 juta.
Ia membuka kotak pandora yang tidak disangka-sangka. Dokumen yang diperolehi oleh akhbar terkemuka Reuters pula menunjukkan bagaimana pengurusan Johnson & Johnson tahu mengenai asbestos di dalam bedak mereka sejak 1957 & 1958 lagi.
Selepas saman Jacqueline Fox berjaya, lebih 1,000 wanita telah menyaman syarikat tersebut. Ini disebabkan kegagalan mereka bagi memaklumkan tentang kandungan asbestos dan risiko kanser bagi penggunaan bedak bayi tersebut.
Tahun berikutnya, seorang wanita menerima pampasan berjumlah $417 juta kerana menderita kanser ovari. Ini setelah beliau menggunakan bedak bayi Johnson untuk kebersihan dirinya.
Pada tahun 2018 pula, juri di St. Louis memberikan pampasan berjumlah $4.7 bilion kepada 22 wanita dan keluarga mereka. Jumlah pampasan ini adalah disebabkan mereka menghidap kanser ovari akibat penggunaan bedak yang sama.
Sehingga hari ini, sebanyak 34,000 saman dihadapi oleh Johnson & Johnson akibat kandungan bedak tersebut. Berbilion dolar juga terpaksa dibayar bagi kos perundangan, pampasan dan lain-lain.
Menurut kenyataan Johnson & Johnson, kandungan bedak bayi ikonik mereka telahpun ditukar bagi menjamin keselamatannya. Kini, bedak tersebut mendapat tekanan untuk penghentian jualan di seluruh dunia.