Sebut sahaja kacang putih, pasti akan terbayang kudapan yang diminati semua lapisan masyarakat. Generasi lama juga pasti masih ingat bagaimana penjual kacang putih menggulung kertas menjadi bentuk kon, untuk diisi dengan kekacang dan snek rangup lain. Ia merupakan snek pilihan utama sekiranya menaiki kenderaan awam untuk perjalanan jauh.
Namun, tidak ramai yang tahu kacang putih juga adalah nama sebuah perkampungan di Perak. Kampung Kacang Putih yang terletak di Buntong, Ipoh menjadi tumpuan pengunjung terutama pada musim perayaan bagi membeli kudapan itu. Kampung ini juga menjadi antara destinasi pelancongan yang terkemuka di negeri Perak. Selain pelancong yang ingin merasai keenakan kacang serta keropok yang dijual, mereka juga berpeluang untuk melihat sendiri proses pembuatannya.
Namun begitu, kewujudan kampung ini hadir dengan sebuah tragedi yang menyayat hati.
Kampung asal di kaki Gunung Cheroh
Ketika zaman pemerintahan British iaitu sekitar tahun 1920-an, seramai sepuluh orang peniaga kacang putih berhijrah ke Ipoh dari Tamil Nadu, India. Mereka berasal dari suku Ettayapuram yang memiliki kemahiran menghasilkan kudapan seperti muruku, pakoda, sivel, dal dan aulu. Campuran lima kudapan ini menghasilkan snek ringan yang digelar kacang putih.
Pada zaman dahulu, kacang putih dijual secara pintu ke pintu dengan dijunjung di atas kepala. Kumpulan peniaga ini mendiami rumah yang dibina berpanjangan di kaki Gunung Cheroh. Perniagaan mereka pada waktu itu mendapat sambutan yang menggalakkan dari segenap lapisan masyarakat.
Tragedi malam 18 Oktober 1973
Tragedi pada malam 18 Oktober 1973 mengubah segalanya. Hujan lebat yang melanda Ipoh sepanjang hari menyebabkan berlakunya runtuhan batu kapur di kaki Gunung Cheroh. Runtuhan tersebut meranapkan kesemua rumah yang didiami oleh peniaga kacang putih di sana.
Dalam sekelip mata, sebanyak 20 buah rumah, dua buah kedai selain kandang ternakan lembu dan kambing hilang dihempap bongkah batu kapur gergasi seberat lebih sejuta tan.
Anggota penyelamat yang diketuai oleh Bomba dikejarkan ke tempat kejadian. Satu pasukan menyelamat ditubuhkan dengan kekuatan hampir 500 anggota untuk mengorek runtuhan dan mengeluarkan mayat yang tertimbus di dalamnya.
Dianggarkan kira-kira 12 mayat berjaya di bawa keluar, manakala 38 lagi masih lagi tertanam di bawah runtuhan tersebut. Tragedi runtuhan batu kapur di kaki Gunung Cheroh telah mengakibatkan kematian 50 orang penduduk.
Pembukaan Kampung Kacang Putih baru di Buntong
Atas dasar keselamatan, kerajaan negeri Perak bersetuju untuk memindahkan 120 orang penduduk lagi ke satu kawasan lain. 48 tahun kemudian, Kampung Kacang Putih kekal di Buntong selepas tragedi menyayat hati tersebut.
Pada hari ini, terdapat 139 anggota Persatuan Kacang Putih Buntong yang meneruskan tradisi perniagaan keluarga mereka. Lokasi perusahaan pembuatan makanan kudapan itu juga telah mengangkat nama negeri hingga ke peringkat antarabangsa.
Beberapa syarikat kacang putih di Buntong juga telah berjaya mengeksport kacang putih hingga ke Singapura, Australia dan Hong Kong. Namun begitu, tragedi runtuhan batu kapur di kaki Gunung Cheroh kekal dalam ingatan keluarga mereka selama-lamanya.