Kos operasi sesebuah syarikat penerbangan bergantung kepada beberapa faktor. Namun, kos terbesar yang ditanggung oleh mereka adalah pembelian dan penggunaan bahan api oleh sesebuah pesawat.
Sebelum tahun 2000, syarikat Boeing merupakan gergasi pengeluar pesawat komersil yang tidak pernah digugat. Namun begitu, pada awal tahun 2000 Boeing mula disaingi oleh Airbus.
Persaingan sengit antara kedua-dua pengeluar pesawat komersil ini mencapai kemuncak pada tahun 2010. Ini apabila Airbus berjaya menghasilkan pesawat Airbus A320neo yang mesra bahan api.
Pesawat komersil baharu ini mampu terbang dengan menggunakan kurang 15-20 peratus bahan api berbanding A320ceo. Penerbangan komersil pertama Airbus A320neo dioperasikan oleh syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa pada tahun 2016. Ironinya, Boeing 737 pertama juga diterbangkan oleh Lufthansa pada tahun 1968.
Bagi kembali bersaing dengan Airbus dan merebut pegangan pasaran, Boeing tidak mempunyai banyak masa. Maka, secara tergesa-gesa syarikat pengeluar pesawat itu menghasilkan Boeing 737 MAX.
Namun, tindakan tersebut akhirnya membawa malapetaka dan kerugian yang jauh lebih besar buat Boeing.
Terhempasnya dua pesawat Boeing 737 MAX
Antara kos besar bagi sesebuah pengeluar pesawat adalah latihan kepada juruterbang. Pesawat Boeing 737 MAX dihasilkan dengan perubahan enjin serba baharu dan mesra bahan api.
Bagi menjimatkan kos tersebut, Boeing memaklumkan kepada bakal pembelinya bahawa pesawat ini adalah sama dengan Boeing 737 Next Generation. Ini membolehkan juruterbang untuk menghadiri kursus pengendalian yang minimum bagi menerbangkan 737 MAX.
Sebenarnya, Boeing menghadapi masalah dengan penggunaan badan pesawat generasi lama seperti 737. Ini kerana, tujahan enjin serba baharu ini tidak begitu stabil dengan badan pesawat. Maka, mereka terpaksa mencipta sistem Maneuvering Characteristics Augmentation System (MCAS) bagi mengawal tujahan ini secara automatik. Malangnya, juruterbang langsung tidak dimaklumkan tentang sistem MCAS ini.
Kegagalan sistem MCAS ini berlaku sebanyak dua kali, dan kedua-duanya membawa kepada terhempasnya pesawat 737 MAX. Ia berlaku kepada Lion Air Flight 610 pada 29 Oktober 2018 dan Ethiopian Airlines Flight 302 pada 10 Mac 2019.
Seramai 346 kru dan penumpang meninggal dunia akibat peristiwa ini. Perbezaan jangkamasa selama 4 bulan 10 hari antara kedua-dua insiden ini telah membawa kepada siasatan besar-besaran oleh Senat Amerika Syarikat.
Kerugian jauh lebih besar buat Boeing
Sepanjang siasatan Senat, badan tersebut mendapati Boeing sengaja menyembunyikan sistem MCAS dari pengetahuan syarikat penerbangan. Ini bagi menjimatkan kos latihan baharu bagi juruterbang 737 MAX.
Selain itu juga, Boeing sedar masalah sistem MCAS ini sejak terhempasnya pesawat Lion Air Flight 610. Namun, kerana tamak, Boeing sanggup membiarkan juruterbang lain menghadapi risiko. Sepatutnya, kejadian kedua dapat dihindari sekiranya Boeing jujur dan mengakui masalah tersebut.
Sepanjang siasatan juga, Federal Aviation Administration (FAA) di bawah arahan Presiden Donald Trump menghentikan operasi kesemua pesawat 737 MAX. Arahan ini berlanjutan selama 619 hari.
Akhirnya, siasatan mendapati Boeing dengan sengaja menyembunyikan kelemahan sistem MCAS. Mahkamah Amerika Syarikat mengenakan denda dan pembayaran pampasan sebanyak $2.5 bilion terhadap Boeing.
Insiden ini juga menyebabkan Boeing kerugian $20 bilion dalam bentuk denda, pampasan dan kos perundangan. Secara tidak langsung, Boeing kerugian hampir $60 bilion apabila sebanyak 1,200 tempahan 737 MAX dibatalkan.
Idea bagi bersaing dengan Airbus A320neo akhirnya gagal dan membawa lebih banyak kerugian.