Pokok kulit kayu manis ditanam secara tradisional dan komersil secara meluas di seluruh dunia. Sehingga hari ini, sebanyak 250 spesies pokok ini telah berjaya dikenal pasti.

Ia lebih dikenali sebagai sebahagian dari rempah ratus yang digunakan di dalam masakan. Kulit kayu manis juga sudah digunakan sejak tahun 2000 Sebelum Masihi iaitu pada zaman Mesir Kuno.

Pada hari ini, kulit kayu manis boleh didapati dalam bentuk asli, iaitu kulitnya yang telah dikeringkan. Bagi memudahkan penggunaan, ia juga turut dijual dalam bentuk serbuk dan minyak pati serta sebagai makanan tambahan.

Namun begitu, terdapat asal usul berbeza bagi dua jenis kulit kayu manis yang biasanya dijual di pasaran. Sebenarnya, terdapat dua jenis kayu manis iaitu ‘cassia’ dan ‘ceylon’, kedua-duanya mempunyai khasiat dan harga yang jauh berbeza.

Kayu manis termahal dari Ceylon

Kredit gambar: Lakpura

Kulit kayu manis Ceylon dianggap sebagai kulit kayu manis sebenar. Ia menggunakan nama Ceylon, iaitu nama gelaran British kepada tanah jajahan lamanya iaitu Sri Lanka.

Bagi pokok kayu manis ini, ia hanya boleh ditanam di Sri Lanka sahaja. Maka, harganya jauh berbeza dengan mana-mana kulit kayu manis yang boleh didapati di pasaran.

Bermula dari penanaman pokok, ia merupakan pelaburan jangka masa yang panjang. Selepas pokok tersebut ditanam, peladang perlu menunggu sehingga empat tahun sebelum hasilnya dapat dituai.

Selepas dituai pula, ia masih memerlukan kepada proses yang panjang sebelum menjadi kayu manis. Kulit kayu tersebut perlu disiat senipis mungkin. Proses tersebut pula mengambil masa yang panjang dek kerana perlu dilakukan dengan berhati-hati.

Dalam masa sehari, seorang pekerja yang mahir hanya mampu menyiapkan 1.5kg sahaja kulit kayu manis Ceylon ini. Namun begitu, harga jualannya mencecah RM113.10 bagi setiap 0.45kg.

Ia menjadikan kulit kayu manis dari Ceylon ini sebagai yang termahal di dunia.

Khasiat kulit kayu manis

Kredit gambar: Chicago Tribune

Kulit kayu manis mempunyai pelbagai komponen penting yang baik untuk kesihatan kita. Ia mengandungi pelbagai jenis antioksidan seperti catechin, glutathione, flavonoid, polifenol, cinnamaldehyde, cineol, eugenol dan cinnamic acid.

Antara khasiat kulit kayu manis ialah mampu mengawal paras gula dalam darah. Kajian ke atas pesakit diabetes jenis 2 telah mendapati bahawa pengambilan kulit kayu manis (3g serbuk kulit kayu manis, 3 kali sehari, selama 4 bulan) boleh menurunkan bacaan paras gula dalam darah semasa berpuasa.

Selain itu, kulit kayu juga berpotensi untuk mengawal bacaan profil lipid atau kandungan lemak dalam badan. Pelbagai kajian yang dilaksanakan menunjukkan bahawa ekstrak kulit kayu manis boleh menurunkan paras jumlah kolesterol, trigliserida dan LDL-kolesterol (kolesterol jahat) di dalam darah.

Kulit kayu manis juga mempunyai aktiviti antiradang yang boleh membantu menghalang keradangan yang boleh membawa kepada pelbagai jenis penyakit. Maka, tidak hairanlah kulit kayu manis ini sering menjadi rempah pilihan dalam kalangan ibu-ibu.