Setiap kali kita menjengah ke pasar malam, Roti John merupakan makanan yang sudah pasti ada dijual sepanjang tahun. Namun, hidangan roti bersalut telur ini menjadi lebih istimewa pada bulan Ramadan. Ia dianggap antara menu wajib sebagai pembuka selera tatkala waktu berbuka puasa.
Tidak memeranjatkan apabila Roti John dianggap sebagai makanan yang popular di Malaysia, Singapura dan Brunei. Bahan utamanya adalah roti panjang dengan salutan telur, dilapisi daging cincang berempah, sayur-sayuran, cili sos, lada hitam dan mayonis.
Popularitinya di Asia Tenggara menjadi persoalan dari mana datangnya nama ‘John’ pada hidangan ini. Menerusi perbincangan arkib media di Singapura, ayuh selongkar jawapannya.
Singapura pada tahun 1960-an
Dekad 1960 sehingga 1970 merupakan tahun-tahun awal Singapura selepas merdeka dan keluar dari Malaysia. Negara pulau bersaiz 728.6 km persegi tersebut masih lagi dipenuhi dengan warganegara British.
Sehingga tahun 1959, Sir William Allmond Codrington Goode merupakan Yang di-Pertuan Negara Singapura sebelum Tun Yusof bin Ishak menggantikkan beliau sebagai Presiden Singapura yang pertama.
Ekonomi dagangan merupakan sumber ekonomi bagi Singapura pra dan pasca penubuhan Malaysia. Maka tidak menghairankan apabila ia masih dipenuhi dengan warganegara luar dan dikawal oleh tentera British pada dekad tersebut.
John merujuk kepada lelaki Inggeris
Arkib Negara Singapura merekodkan bahawa Roti John mula dikenali pada dekad 1960an. Seorang peniaga warung bernama Abdul, berketurunan India Muslim menyajikan makanan tersebut kepada lekaki caucasian, dipercayai sebagai tentera British.
Hidangan pertama tersebut hanyalah roti Perancis panjang bersama telur, mayonis dan salad. Tentera-tentera tersebut bergaji mingguan dan menerima gaji pada hari Khamis. Mereka akan mengunjungi warung Abdul pada hari Khamis di Keek Road.
Sewaktu memanggil pelanggan Inggerisnya, Abdul akan menyebutkan “roti, John”. ‘John’ di dalam panggilan ini merujuk kepada lelaki Inggeris tersebut dan bukan menu terbabit.
Nama Inggeris yang dimiliki oleh tentera British adalah asing untuk digunakan oleh penduduk tempatan yang kurang fasih, Maka, mereka akan merujuk lelaki Inggeris dengan terma ‘John’ sahaja.
Lama kelamaan, menu tersebut digelar sebagai Roti John dan kekal popular sehingga hari ini.