Sebenarnya, adalah sukar untuk menentukan jumlah kelahiran bayi yang sebenar di seluruh dunia. Saban hari, masih ada kelahiran bayi yang tidak direkodkan dan didaftarkan atas beberapa faktor.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan seramai 385,000 bayi dilahirkan setiap hari. Jumlah tersebut menyamai 140 juta kelahiran dalam masa setahun. Anggaran tersebut juga menunjukkan kelahiran akan terus stabil dalam masa 50 tahun, dari 2020-2070.
Jumlah penduduk dunia juga akan bertambah kepada 8 bilion pada tahun 2023 dan 10 bilion pada tahun 2057. Namun begitu, tahukah anda kebanyakan bayi-bayi yang dilahirkan ini mempunyai nama yang sama?
Nama bayi lelaki yang paling banyak digunakan sebagai contoh adalah Muhammad. Dieja dengan pelbagai variasi seperti Mohamad, Mohammed dan Mohamed, dianggarkan seramai 72 juta orang dinamakan bersempena dengan nama Nabi Muhammad SAW ini.
Kajian Forebears juga menunjukkan nama Maria sebagai nama bayi perempuan yang popular. Ini kisah disebalik nama bayi yang popular di beberapa buah negara.
1. Australia
Nama bayi lelaki terkenal: Oliver, William, Noah, Jack dan Henry
Nama bayi perempuan terkenal: Charlotte, Amelia, Olivia, Mia dan Ava
Nama-nama bayi yang popular di Australia dilihat mirip kepada nama bayi di United Kingdom. Sebagai sebuah negara bekas tanah jajahan UK, Australia masih lagi kekal berkongsi monarki yang sama.
2. Austria
Nama bayi lelaki terkenal: Paul, David, Jakob, Maximilian dan Felix
Nama bayi perempuan terkenal: Anna, Emma, Laura, Marie dan Mia/Lena
Sebagai bekas tanah jajahan Jerman, budaya dan pengaruh negara tersebut masih menebal di hati penduduk Austria. Maka, tidak menghairankan apabila kedua-dua buah negara ini berkongsi nama popular yang sama.
3. Bosnia
Nama bayi lelaki terkenal: Ahmed, Daris, Amar, Davud dan Adin
Nama bayi perempuan terkenal: Sara, Amina, Merjem dan Esma/Asja
Bancian pada tahun 2016 menunjukkan Islam sebagai agama yang paling dianuti di Bosnia. Maka, tidak menghairankan nama bayi yang popular di sana bertemakan nama-nama Rasul.
4. Republik Czech
Nama bayi lelaki terkenal: Jakub, Jan, Adam, Tomáš dan Matyáš
Nama bayi perempuan terkenal: Eliška, Tereza, Anna, Adéla dan Natálie
Tidak seperti ibu bapa di Eropah yang gemar nama-nama terkait dengan Kristian, lain pula halnya dengan Republik Czech. Mereka lebih gemar menamakan anak dengan nama asal usul Slavik. Ini juga dikuatkan dengan kajian Pew Research yang menunjukkan 72 peratus penduduk Czech tidak beragama.
5. Scotland
Nama bayi lelaki terkenal: Jack, Oliver, James, Logan dan Leo
Nama bayi perempuan terkenal: Olivia, Emily, Isla, Sophie dan Amelia
Seperti beberapa buah negara di dalam senarai ini, Scotland mempunyai tradisi khusus bagi menamakan bayi mereka. Anak kelahiran pertama dalam keluarga akan dinamakan mengikut nama datuk dan nenek jurai ayah. Anak kelahiran kedua dalam keluarga pula akan dinamakan mengikut nama datuk dan nenek jurai ibu.
Tradisi ini adalah untuk anak kelahiran pertama hingga ke empat belas di dalam sesebuah keluarga tersebut. Namun begitu, selepas Scotland dijajah dan diperintah oleh bangsa lain, ia mengubah budaya ini. Tradisi ini turut berubah dan semakin ditelan zaman. Lebih banyak nama dianggap sesuai untuk bayi lelaki dan perempuan dan tidak lagi terikat dengan nama keluarga.
Negara-negara di Asia Tenggara juga mempunyai nama-nama yang popular. Ibu bapa di Malaysia kerap menamakan bayi mereka dengan nama Muhammad. Vietnam pula mempunyai nama pertama Nguyen yang kerap digunakan, bersandarkan kepada nama Dinasti Nguyen yang terakhir.