Produk kosmetik merupakan produk yang digunakan pada bahagian luaran tubuh badan manusia seperti kulit, rambut, kuku dan bibir. Kosmetik mempunyai pelabagi kegunaan kepada penggunanya. Secara umumnya, produk ini membantu untuk membersih, mewangi, mencantikkan penampilan, melindungi dan menjaga luaran tubuh badan.
Pada hari ini, produk kosmetik bukan hanya digunakan bagi tujuan kecantikan. Ia digunakan setiap hari untuk tujuan kebersihan, perapian dan lain-lain lagi oleh kebanyakan individu tanpa mengira usia, jantina, bangsa dan latar belakang ekonomi.
Perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi membawa kepada pengeluaran pelbagai jenis produk kosmetik di dalam pasaran. Sebagai pengguna, kita seharusnya lebih peka tentang maklumat yang perlu diketahui sebelum memilih sesuatu produk kosmetik sebelum digunakan. Maklumat ini selalunya dipaparkan di botol sesuatu produk dengan pelbagai simbol.
Ini maksud simbol-simbol tersebut.
1. Period after opening (PAO)
Pada kebiasaannya, semasa pembelian kita akan fokus kepada tarikh pengilangan dan tarikh luput sesuatu produk. Ini amat penting lebih-lebih lagi apabila produk kosmetik tersebut dibeli pada harga diskaun. Tentu ada sebab mengapa ia diberikan diskaun yang berlebihan.
Selain itu juga, period after opening (PAO) merupakan simbol penting yang perlu diteliti. Sebagai contoh, anda membeli produk yang jarang digunakan dan tarikh luputnya tinggal enam bulan. Namun, simbol PAO nya hanya menunjukkan 3M ataupun perlu digunakan tiga bulan selepas dibuka. Maka, ia satu kerugian sekiranya dibeli walaupun pada harga diskaun.
2. Tanda e
Simbol E dengan huruf kecil e ini kebiasaannya dicetak disebelah berat produk kosmetik. Simbol e ini bermaksud secara puratanya, berat produk tersebut adalah sama dengan yang dinyatakan di label tersebut.
Ini kerana terdapat produk yang memaparkan berat yang tidak sama dengan kandungan sebenar di dalam botol tersebut. Maka, pengguna akan mendapat produk kosmetik dengan kandungan sebenar seperti yang diiklankan.
3. Simbol titik hijau
Kebiasaannya, logo ini dianggap bermaksud botol ini boleh dikitar semula. Tanggapan tersebut adalah salah sama sekali. The Green Dot Symbol ini sebenarnya digunakan di United Kingdom dan Eropah. Ia menunjukkan syarikat kosmetik tersebut mematuhi undang-undang pengendalian sisa buangan.
4. Logo arnab
Saban tahun, hampir 100 juta ujikaji produk kosmetik dilakukan terhadap haiwan di makmal. Lebih menakutkan, jumlah ini hanya diambil dari Amerika Syarikat sahaja. Haiwan seperti tikus, tikus makmal, arnab, ikan, monyet dan burung mati akibat ujikaji tersebut.
Terdapat tiga jenis logo arnab pada produk kosmetik. Logo pertama yang biasanya digambarkan sebagai leaping bunny ataupun arnab yang sedang melompat. Logo leaping bunny digunakan di seluruh dunia sebagai tanda bahawa produk kosmetik ini tidak digunakan terhadap haiwan sebagai ujikaji. Ia juga bermaksud produk ini dikeluarkan mengikut standard yang ditetapkan oleh Coalition for Consumer Information on Cosmetics’ (CCIC).
Logo kedua adalah logo arnab dan bentuk hati dengan slogan cruelty free. Ia dikeluarkan oleh People for the Ethical Treatment of Animals di Amerika Syarikat. Sama seperti logo leaping bunny, logo cruelty free dikeluarkan oleh syarikat kosmetik di Amerika Syarikat.
Logo arnab terakhir pula adalah dengan tulisan not tested on animal. Sama seperti leaping bunny dan cruelty free, ia dikeluarkan oleh agensi Chose Cruelty Free di Australia.