Ketika Ukraine diserang dan diceroboh oleh Russia dari segenap sudut, timbul persoalan sekatan terhadap ekonomi Russia. Beberapa jam yang lalu, Presiden Joe Biden turut mengumumkan sekatan terhadap hasil petroleum dan jualan gas asli dari negara tersebut.

Sekatan tersebut dijangka bakal melemahkan lagi ekonomi Russia. Ini kerana, Amerika Syarikat menganggap industri petroleum dan gas sebagai nadi utama yang menggerakkan negara terbabit. Namun begitu, Amerika Syarikat hanya mengimport sebanyak 5 peratus daripada hasil petroleum Russia.

Penganalisa ekonomi sebelum ini memberi amaran terhadap sebarang sekatan jualan terkait industri petroleum dan gas sebagai berbahaya. Ini kerana, Russia merupakan pengeluar petroleum ketiga terbesar dunia. Sekatan terhadap jualan ini hanya akan menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan, lantas melonjakkan harga petroleum di pasaran antarabangsa.

Begitu juga dengan kepentingan gas asli keluaran Russia. Melalui syarikat milik negara mereka iaitu Gazovaya Promyshlennost atau Gazprom, ia mengawal 12 peratus pengeluaran gas asli dunia.

Tidak seperti kita di negara iklim khatulistiwa, negara empat musim seperti Jerman dan Itali amat bergantung kepada has asli Gazprom juga merupakan pembekal gas utama. Mereka memerlukan gas asli sebagai elemen penting untuk memanaskan rumah ketika cuaca dingin.

Jerman dan Eropah boleh mati kesejukan

Kredit gambar: BBC

Ugutan Russia terhadap ketidakstabilan ekonomi dengan sekatan industri petroleum dan gas amat berasas. Timbalan Perdana Menterinya, Alexander Novak mengatakan harga petroleum mampu mencecah USD 300 setong.

Penanda aras harga petroleum dunia, Brent kini mencecah USD123.21, tertinggi dalam 14 tahun. Pasca pandemik, ekonomi sedang mula berkembang perlahan dan sebarang kenaikan harga yang tidak menentu mampu menguncupkan potensi ekonomi.

Begitu juga dengan kebergantungan besar benua Eropah terhadap petrol dan gas dari Russia. Kesatuan Eropah mengimport 155 bilion cubic meters gas asli dari Russia sepanjang tahun lalu. Jumlah tersebut menunjukkan Russia membekalkan 45 peratus daripada keperluan gas asli EU, dengan 40 peratus daripadanya habis digunakan.

Bukan sesuatu yang mudah untuk keperluan gas ini dipindahkan kerana ia memerlukan pelaburan yang besar dalam skala yang panjang. Tanpa gas asli Russia, separuh benua Eropah boleh mati kesejukan.

Solusi jangka pendek dan panjang

Kredit gambar: Forbes

Sudah pasti, Kesatuan Eropah tidak boleh memperjudikan nasib mereka di tangan Russia. Ketika ini, hampir 1.3 juta rakyat Ukraine menjadi pelarian dan destinasi mereka sudah tentu negara-negara di benua Eropah. 

Ketidakstabilan ekonomi pasca serangan Russia juga bakal memberikan impak kepada dunia. Justeru, antara langkah yang boleh diambil oleh EU adalah dengan memindahkan penggunaan tenaga yang bergantung terhadap gas asli kepada tenaga boleh diperbaharui. Laporan International Energy Agency menunjukkan Eropah mampu mengubah 15 peratus setahun pergantungannya daripada gas asli kepada tenaga boleh diperbaharui.

Selain itu juga, IEA mencadangkan agar Eropah mula mengimport gas asli dari negara lain seperti Amerika Syarikat. Namun begitu, ia bukanlah solusi terbaik memandangkan kos yang bakal ditanggung adalah jauh lebih mahal.

Pakar juga menjangkakan kos bagi penggunaan gas asli akan melambung pasca perang. Ini akan meningkatkan lagi kos sara hidup yang sudah sedia tinggi pasca pandemik. Apa yang pasti, tiada solusi mudah bagi mengeluarkan Eropah sebagai tebusan perang Ukraine dan Russia ini.

Sumber: