Pada hari ini, banyak restoran dan produk makanan menyediakan menu pedas untuk memberi kepuasan dan memenuhi kehendak pelanggan. Tidak kurang juga rangkaian restoran makanan segera yang turut sama memberikan pilihan menu jenis ini. Pedas sehingga berasap telinga, berapi, super pedas dan menyengat merupakan antara istilah tahap kepedasan yang seringkali digunakan bagi menarik perhatian pelanggan.

Secara amnya makanan pedas bercili dan berempah mempunyai rasa lebih sedap serta bau yang menyelerakan. Ia menjadikan pelanggan mudah untuk tertarik untuk mencuba dan menikmati makanan dari kategori ini. Budaya luar seperti Korea dan cadangan rakan sebaya juga menjadi faktor penarik kepada pelanggan untuk mencuba makanan pedas.

Seperti makanan lain, hidangan pedas ini juga ada kebaikan dan keburukannya yang tersendiri. Maka, ia perlu diambil dalam kadar yang berpada-pada bagi mengelakkan kesan negatif terhadap tubuh badan anda.

Kebaikan makanan pedas

Kredit gambar: TRP

Tiada kajian dirumuskan dalam menentukan kesan bahaya makanan pedas kepada kesihatan manusia. Maka, makanan pedas bercili jika diambil secara sederhana boleh memberi banyak kesan positif terhadap kesihatan.

Cili mempunyai khasiat tersendiri iaitu mempunyai banyak vitamin C, vitamin E dan pro vitamin A seperti karotena. Ia juga banyak mengandungi mikro zat yang penting untuk tubuh badan seperti zat besi.

Secara tidak langsung pengambilan makanan pedas atau cili dalam masakan boleh membantu menampung kekurangan zat atau mikro nutrien yang diperlukan tubuh. Makan cili juga mampu meningkatkan kadar metabolisme seseorang dan anti oksida di dalam tubuh.

Keburukan makanan pedas

Kredit gambar: BBC

Biarpun penuh dengan kebaikan, ia perlu diambil dalam kadar yang berpada-pada. Mungkin cili ada kebaikannya, namun apabila diambil dengan mi segera dalam kadar yang kerap, ia boleh memudaratkan kerana kandungan-kandungan yang lain.

Bagi penghidap penyakit gastrik atau ulser perut, makan cili secara berlebihan ini boleh memudaratkan penyakit sedia ada ini. Untuk kanak-kanak yang mempunyai masalah ketidakhadaman atau berkaitan usus, makanan pedas boleh menyebabkan iritasi pada dinding usus. Ini juga boleh menyebabkan simptom seperti sakit perut, muntah dan juga rasa loya.

Tahap kepedasan pula bergantung kepada individu. Setiap orang sebenarnya mempunyai tahap ketahanan kepedasan yang berbeza-beza. Seseorang yang biasa makan pedas akan lebih tahan berbanding individu yang jarang makan pedas.

Bagi mereka yang tidak biasa dengan makanan pedas, cili boleh menyebabkan sakit perut yang keterlaluan. Kesannya, individu tersebut boleh mengalami Irritable Bowel Syndrome.

Makanan pedas yang sihat adalah dari sumber semulajadi seperti cili. Namun, makanan pedas daripada kumpulan makanan berproses seperti mi segera dan ayam goreng pedas mengandungi perasa tambahan yang tinggi kandungan sodium. Pengambilan secara berlebihan mampu mengundang penyakit lain seperti darah tinggi.