Perenang China, Sun Yang dihukum gantung selama lapan tahun selepas tidak menghadiri ujian doping pada September 2018.

Perenang berusia 28 tahun ini pada mulanya digugurkan pertuduhannya oleh Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) pada Januari 2019. Tetapi susulan rayuan semula kes yang dibuat oleh Agensi Anti-Doping Sedunia (WADA) dan Mahkamah Arbitrasi Sukan (CAS), Sun Yang akhirnya dihukum gantung lapan tahun dari sukan renang oleh FINA.

Hukuman berat gantung lapan tahun tersebut dikenakan kepada juara Sukan Olimpik tiga kali tersebut kerana ini merupakan kesalahan keduanya. Pada 2014, Sun Yang pernah digantung tiga bulan kerana mengambil dadah Trimetazidine.

Semua pingat yang diraih oleh Sun Yang sebelum, semasa dan selepas Julai 2019 akan kekal kerana beliau tidak diuji positif doping. Sun Yang telah merangkul 11 gelaran dunia sejak 2011, termasuk dua pingat emas dalam Kejohanan Akuatik Sedunia 2019 di Korea Selatan yang lepas.

Pemegang pingat emas Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016 acara 200 meter gaya bebas ini memberitahu akan membuat rayuan terhadap hukuman ini. “Saya percaya saya tak bersalah. Ini tak adil,” katanya kepada akhbar China, Xinhua.

Embed from Getty Images

Ketika pendengaran kesnya pada November 2019 lepas, Sun Yang memberitahu beliau tidak hadir ujian doping kerana penguji gagal mengemukakan surat kuatkuasa dan lesen kejururawatan ketika tiba di rumahnya.

Dalam kejadian sama, perenang China itu turut didakwa memecahkan tabung uji yang berisi darahnya dengan penukul.

FINA hanya memberi Sun Yang amaran berikutan insiden tersebut. Ini menimbulkan ketidakpuasan hati WADA, CAS dan perenang negara lain.

CAS mendakwa walaupun Sun Yang berhak untuk mempersoalkan kredibiliti identiti penguji yang gagal menunjukkan akreditasi mereka, ia masih tidak menjelaskan tindakan beliau untuk memecahkan tabung uji yang berisi darahnya.

WADA mengalu-alukan hukuman tersebut dan berpendapat ‘keadilan telah ditegakkan.’

Bergaduh dengan perenang lain

Sebelum dihukum gantung lapan tahun, berita Sun Yang yang hanya diberi surat amaran oleh FINA pada 2019 membuatkan perenang Britain dan Australia enggan berkongsi podium dengannya.

Ketika Kejohanan Akuatik Sedunia 2019 di Korea Selatan pada Julai lepas, Sun Yang memenangi pingat emas acara 200 meter gaya bebas. Tetapi pemenang pingat gangsa, Duncan Scott dari Britain enggan berkongsi podium dengan perenang China tersebut.

Scott sebenarnya mengikut jejak langkah perenang Australia Mack Horton yang berbuat perkara sama ketika acara 400 meter gaya bebas. Selama bertahun-tahun, Horton sudah memanggil Sun Yang ‘seorang penipu dadah’.

https://www.youtube.com/watch?v=NSthr4wRQSE

Tindakan Scott membuatkan Sun Yang bertindak menghalakan jeritannya ke arah perenang Britain itu sebelum mengejek, “Kau kalah. Aku menang.” Insiden tersebut boleh dilihat dalam video di bawah:

Mengulas mengenai tindakan ‘poyo’ Sun Yang, Scott berkata:

“Saya sokong Mack [Horton]. Kalau [Sun Yang] tak boleh hormat sukan renang, kenapa saya kena hormat dia. Saya rasa ramai orang, semua orang dalam sukan renang, sokong apa yang Mack buat.”