Kadar cerai di Arab Saudi meningkat 30% pada bulan Februari selepas perlaksanaan kuarantin akibat wabak COVID-19 membuatkan ramai isteri mendapat tahu suami mereka mempunyai isteri lain.
Menurut laporan Gulf News, pada tempoh sama juga, jumlah perkahwinan yang terijabkabul meningkat 5% berbanding tahun lepas. Pada Februari 2020, sebanyak 13,000 perkahwinan dilangsungkan dengan 542 daripadanya dilangsungkan dalam talian.
Jumlah cerai pada bulan sama pula direkodkan berjumlah 7,482 – peningkatan 30% untuk kes cerai (طَلَاق) dan khuluk (خلع).
Khuluk berlaku apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk berpisah, dengan si isteri memulangkan mas kahwin (mahar) kepada suami selepas si suami cerai talak.
Perbezaan antara talak biasa dan khulu’ ialah talak berlaku dengan kehendak suami manakala khulu’ berlaku dengan kemahuan isteri dan nekad untuk bercerai disertai dengan gantian atau pampasan.
Oleh itu, si isteri disyariatkan untuk menebus diri daripada suaminya, dengan gantian memberi suatu kadar jumlah daripada mas kahwin yang dipersetujui bersama.
Imam al-Syafie mengatakan bahawa khulu’ ialah talak ba’in yang mengurangkan bilangan talak. Hal ini kerana, ayat yang berkaitan dengan khulu’ terletak di antara dua ayat talak. Maka ia menunjukkan bahawa khulu’ berkait dan termasuk dalam jenis talak.
Firman Allah SWT:
الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَأْخُذُوا مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا أَن يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ تِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّـهِ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ﴿229﴾ فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعْدُ حَتَّىٰ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ
Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain.”
(Surah al-Baqarah: 229-230)
Majoriti wanita mahu bercerai wanita berkerjaya
Media juga melaporkan 52% kes tersebut berlaku di Mekah dan Riyadh. Majoriti wanita yang memohon perceraian daripada suami yang kantoi berpoligami kebanyakannya merupakan wanita berkerjaya.
Peguam Arab Saudi, Saleh Musfer al-Ghamdi memberitahu media beliau sampai perlu menguruskan lima permohonan cerai dalam masa dua minggu daripada isteri yang kecewa.
“Salah seorangnya merupakan doktor wanita yang mendapati suaminya telah berkahwin secara rahsia dengan seorang wanita Arab,” kata al-Ghamdi.
Poligami merupakan amalan yang membolehkan seseorang lelaki berkahwin sehingga empat wanita dan dibenarkan dalam majoriti negara yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam. Dua negara majoriti Islam yang melarang poligami adalah Turki dan Tunisia.