Pembelian emas sebenarnya banyak membantu orang ramai menstabilkan semula kewangan mereka sewaktu berhadapan dengan situasi pandemik. Ini kerana penyimpan emas boleh menggadai atau menjual semula aset itu jika berdepan krisis kewangan atau dibuang kerja. Wang hasil gadaian emas itu pula boleh digunakan sebagai ikhtiar lain bagi menjana pendapatan seperti memulakan perniagaan.

Terdapat banyak faktor yang dijangka akan melonjakkan harga emas, antaranya ketidaktentuan tahap pemulihan ekonomi di seluruh dunia, jangkaan peningkatan kadar inflasi dan jaminan bank pusat Amerika Syarikat (AS) bahawa dasar monetari kekal akomodatif. Emas merupakan pelaburan paling selamat dan dianggap kalis inflasi.

Terbaharu, Maybank melancarkan Maybank Islamic Gold Account-i (MIGA-i) iaitu produk pelaburan emas yang pertama membolehkan pelanggan membuka akaun, membeli, menjual dan memindahkan emas dengan mudah menerusi Maybank2u.

Melalui perkhidmatan terbaharu ini, pengguna Maybank2u boleh membuat pelaburan emas dan melakukan transaksi beli atau jual dengan nilai serendah RM10. MIGA-i juga membolehkan pelanggan memiliki emas fizikal dengan ketulenan 999.9 peratus seperti yang diakreditasikan oleh London Bullion Market Association (LBMA) tanpa perlu menyimpan emas fizikal.

Keistimewaan MIGA-i adalah ia merupakan perkhidmatan pertama seumpamanya di pasaran yang membolehkan pelanggan menikmati harga pasaran semasa secara masa nyata untuk membeli dan menjual emas. Selain itu juga, akaun emas patuh Syariah ini bakal membolehkan pelanggan menebus semula baki emas yang ada dalam akaun dengan emas fizikal, dalam denominasi dari sekecil satu gram sehingga satu kilogram emas.