John Cena terpaksa memohon maaf dan menarik balik kata-katanya yang menyifatkan Taiwan sebagai sebuah negara sewaktu sesi wawancara untuk mempromosikan filem terbarunya Fast & Furious 9. Permohonan maaf tersebut dimuat naik oleh beliau melalui satu klip video, dituturkan dalam bahasa Mandarin di laman sosial Weibo.
Sewaktu sesi temu ramah bersama stesen TVBS Taiwan awal bulan ini, beliau berkata Taiwan menjadi negara pertama yang menonton filem terbaharu Fast & Furious 9. China dan Taiwan mempunyai konflik yang berpanjangan di mana China menganggap Taiwan sebagai salah satu wilayahnya. Taiwan pula menolak tanggapan tersebut dan menganggap negara mereka sebagai sebuah negara berdaulat.
John Cena mempunyai sehingga 600,000 orang pengikut di Weibo yang mengumpulkan peminat beliau di negara China. Beliau merupakan penggusti WWE yang mempunyai pengikut paling ramai di media sosial, dengan 13 juta pengikut di Twitter dan 15.1 juta pengikut di Instagram.
Filem Fast & Furious 9 menerima sambutan hebat sejak ditayangkan di China bermula 21 Mei. Pada hujung minggu lalu, China menyumbang US$135 juta dari keseluruhan kutipan US$162 juta yang diperoleh filem berkenaan.