Pulse oximeter merupakan suatu peranti perubatan yang digunakan untuk mengukur kadar oksigen di dalam badan. Alat ini biasanya digunakan untuk memantau keadaan pesakit yang mempunyai masalah kesihatan yang boleh mempengaruhi tahap oksigen dalam darah seperti Penyakit Obstruktif Paru-Paru Kronik (COPD), asma, pneumonia, kanser paru-paru, anemia, sakit jantung, kecacatan jantung kongenital dan lain-lain.

Pengimportan dan pengedarannya di dalam pasaran dikawal oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), sebuah agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) ini memerlukan kesemua peranti perubatan untuk berdaftar di bawah bidangkuasa MDA untuk memastikan keselamatan dan keberkesanannya sebelum boleh dipasarkan.

Kepentingan pulse oximeter adalah sebagai peranti untuk memeriksa tahap kandungan oksigen dalam darah seseorang pesakit yang mempunyai simptom Covid-19 seperti batuk, demam, dan sesak nafas.

Tips membeli pulse oximeter berkualiti

  1. Tips yang paling utama, pulse oximeter tersebut mesti mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA). Setakat hari ini, terdapat 51 pulse oximeter yang berdaftar dengan MDA dan senarai tersebut boleh disemak di sini.
  2. Pulse oximeter yang baik pada kebiasaannya mempunyai jaminan ketahanan selama setahun dan;
  3. Julat harga terendah bagi pulse oximeter ini adalah sekitar RM59.90 ke atas bagi sebuah peranti. Anda boleh menyemak nombor pendaftaran peranti tersebut di laman web MDA untuk pengesahan.

Cara menggunakan pulse oximeter

Kredit gambar: https://www.ritzmedical.com/index.php?ws=showproducts&products_id=3405953&PC=1

Bacaan tahap oksigen dalam darah diambil dengan cara mengepit hujung jari tangan menggunakan pulse oximeter yang berbentuk seakan-akan klip. Tahap kepekatan oksigen di dalam darah akan diukur menggunakan satu proses yang melibatkan lintasan sinaran cahaya kecil ke dalam darah.

Proses ini dapat mengukur perubahan penyerapan cahaya dalam darah beroksigen atau darah tanpa oksigen dan seterusnya, mengesan kadar kepekatan oksigen darah. Paras oksigen darah rendah (hypoxia) adalah ukuran kepekatan oksigen berpurata 94 peratus dan ke bawah bagi mereka yang tiada penyakit paru-paru kronik.

Info tambahan mengenai pulse oximeter

Kredit gambar: https://covid-19.moh.gov.my/garis-panduan/gp-umum-covid19/pulse-oximeter
  1. Walaupun penggunaan Pulse Oximeter di rumah dapat mengesan paras oksigen rendah dalam darah (hypoxia) yang disebabkan oleh jangkitan Covid-19, namun bukan semua perubahan bacaan Pulse Oximeter adalah berkaitan dengan Covid-19. Perubahan ini mungkin juga disebabkan oleh masalah paru-paru yang lain seperti penyakit asma atau jangkitan paru-paru (Pneumonia).
  2. Kesukaran bernafas dan paras oksigen rendah hanyalah dua kemungkinan simptom jangkitan Covid-19. Simptom lain seperti batuk, demam, rasa sejuk yang melampau serta menggigil, sakit otot, sakit kepala, sakit tekak dan kehilangan deria rasa atau bau juga merupakan simptom-simptom jangkitan Covid-19. Simptom-simptom tersebut akan muncul antara dua hingga 14 hari selepas pesakit terdedah dengan virus ini.
  3. Ketahui tahap oksigen normal anda dan perhatikan sebarang perubahan dalam bacaan. Dapatkan nasihat doktor sekiranya anda mendapati bacaan tahap oksigen dalam darah anda menurun daripada biasa.
  4. Bergantung kepada model Pulse Oximeter, bacaan paras oksigen antara 95 peratus hingga 97 peratus adalah dianggap normal. Kadar oksigen dalam darah yang rendah (hypoxia) dapat dilihat melalui kepekatan oksigen yang diukur di bawah 94 peratus sekiranya tiada penyakit paru-paru kronik.

Sekiranya bacaan menjadi kurang daripada 94 peratus, anda dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat doktor, manakala jika bacaan jatuh kepada 90 peratus ke bawah, rawatan kecemasan adalah diperlukan.