Pada tahun 2019, industri pembekalan elektrik Malaysia telah memperolehi pengiktirafan global. Ini apabila Bank Dunia berasaskan hasil kajian Ease of Doing Business 2020 telah menyenaraikan Malaysia di tangga ke-12. Ia merupakan peningkatan sebanyak tiga anak tangga berbanding 2018.

Bagi kategori Getting Electricity pula, kedudukan Malaysia adalah di tangga keempat terbaik berbanding 190 negara di dunia. Malaysia hanya dibelakang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Korea Selatan dan Hong Kong di bawah kategori tersebut. Menerusi pengiktirafan ini, industri pembekalan elektrik Malaysia diakui berada di tahap yang sangat baik.

Tenaga elektrik yang dibekalkan di Semenanjung Malaysia memenuhi keperluan 6.96 juta pengguna berdaftar. Sehingga tahun 2020, sebanyak 16,030.53 megawatt (MW) tenaga dibekalkan di Semenanjung Malaysia.

Bahan api seperti gas, arang batu, dan hidro merupakan komponen yang penting untuk menjana elektrik. Berikut merupakan sumber tenaga yang dibekalkan oleh TNB kepada pengguna.

Penjanaan arang batu

Kredit gambar: Energy Watch

Penjanaan tenaga elektrik daripada sumber arang batu merangkumi 45.6 peratus daripada sumber tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia. Menerusi jumlah tersebut, hampir 66 peratus permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia yang dijana oleh TNB adalah daripada arang batu yang diimport sepenuhnya.

Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah di Manjung, Perak menjana 20 peratus sumber elektrik bagi Semenanjung Malaysia. Stesen tersebut mempunyai kapasiti pengeluaran 4,100 megawatt (MW), menggunakan 15 juta tan arang batu sub-bituminous setahun.

Penjanaan gas asli

Kredit gambar: The Star

Penjanaan tenaga elektrik daripada sumber gas asli termasuk LNG pula membekalkan 35.9 peratus daripada sumber tenaga elektrik. Sebelum ini, hampir dua pertiga atau 68 peratus sumber penjanaan elektrik di Semenanjung Malaysia adalah gas asli. Kebergantungan yang tinggi terhadap satu sumber bahan api boleh memberi risiko kepada bekalan elektrik apabila berlakunya gangguan kepada pembekalan bahan api tersebut.

Stesen janakuasa gas Tanjung Bin Energy milik Malakoff merupakan pembekal tersebar bagi sumber elektrik dari janaan gas asli ini. Sebanyak 3,100 megawatt (MW) dibekalkan oleh stesen janakuasa Tanjung Bin di Johor.

Penjanaan tenaga hidro

Kredit gambar: SPRWTS

Sejak 72 tahun yang lalu, TNB hanya mengendalikan tiga skim empangan tenaga elektrik hidro iaitu Skim Hidroelektrik Sungai Perak, Cameron Highlands dan Tasik Kenyir. Sehingga hari ini, tenaga hidro hanya merangkumi 18 peratus daripada kapasiti TNB di Semenanjung Malaysia.

Skim Hidroelektrik Sungai Perak membekalkan tenaga terbesar dalam kalangan tenaga hidro dengan 1,249.1 megawatt (MW). Ia diikuti dengan Kenyir dengan 665 MW dan Cameron Highlands dengan 622 MW. Selepas ini, TNB akan membina empangan jana kuasa hidroelektrik di Neggiri, Gua Musang dengan kapasiti bekalan sebanyak 300 MW.

Tenaga solar pula hanya menyumbang 0.6 peratus daripada sumber elektrik di Semenanjung Malaysia.